28 March 2012

UJIAN SEBUAH KEMENANGAN

Kemenangan merupakan satu tarbiyah secara praktikal. Kerana tarbiyah ia tidak sahaja bergantung kepada teori semata-mata tetapi memerlukan kepada praktikal. Sekurang-kurangnya mengajar kepada kita nikmat menang dan bagaimana untuk menghadapi cabaran tersebut. Ujian yang menimpa kepada ahli dan jemaah sebagai tapisan untuk mematangkan jemaah. Supaya yang tinggal adalah mereka yang benar-benar mantap dan teruji. Mereka yang tidak tahan akan berundur secara tersendiri.

Kemenangan menguji kita bahawa kita menghargai sahabat dan jentera parti yang bertungkus-lumus. Hebat macam mana seorang itu dengan ketokohan dan kemantapan peribadinya tidak banyak membantu jika jentera parti tidak membantu kemenangannya. Sebab itu, waktu menang jangan lupa kepada jentera parti yang memberi komitmen kepada parti untuk kemenangan. Mereka sanggup bergadai harta, meninggalkan anak isteri dan kadang-kadang bersabung nyawa bagi mempertahankan maruah parti.

Beberapa insiden petugas PAS yang dipukul oleh samseng BN seperti yang berlaku kepada Almarhum Ustaz Osman Talib dalam pilihanraya kecil di Padang Terap Kedah pada tahun 1985. Juga peristiwa tiga petugas PAS daripada kawasan Hulu Langat, Selangor yang dipukul parah dalam pilihan raya kecil Ijok Selangor. Petugas PAS diserang oleh samseng Umno di Bagan Pinang. Kebanyakan petugas PAS yang sudah diasuh dan ditarbiyah mereka tidak hendak menuntut apa pun daripada kita, tetapi yang mereka pinta ialah penghargaan dan menilai kerja buat mereka.

Jangan pula apabila kita menang maka kita menganggap bahawa kemenangan ini bukan kerana PAS tetapi adalah kerana peribadi. Sebenarnya kecil hati orang PAS yang bekerja siang malam untuk kemenangan kita, apabila menang kita mendakwa kemenangan ini kerana kekuatan peribadi. Waktu menang banyak kawan, waktu kalah tinggal seorang. Ibarat musim durian jatuh ramai kawan dan adik beradik; tetapi bila tiba waktu menebas,hanya tinggal seorang diri.

Oleh itu, kita mesti bijak menilai siapa kawan seperjuangan dan siapa kawan yang rebut peluang. Kawan seperjuangan mereka sanggup tenggelam timbul, kawan yang rebut peluang hanya berada di sisi ketika ketawa dan mendapat nikmat. Mereka yang ditarbiyah mengikut manhaj perjuangan PAS, insya-Allah mampu melakukannya. Utamakanlah kawan seperjuangan yang ikhlas lebih baik daripada yang cerdik tetapi tidak ikhlas.

Waktu menang perlu kepada kesabaran yang tinggi. Telinga mesti tebal, muka mesti tebal. Maklumlah bukan senang hendak menjaga semua hati orang ramai supaya berpuas dengan apa yang kita khidmat. Orang ramai mempunyai berbagai-bagai bentuk kekurangan dan kelemahan. Mereka memerlukan orang yang sanggup bergaul dan hidup bersama dengan mereka dan dapat menampung kekurangan yang ada pada mereka. Kesemua ini memerlukan kesabaran. Boleh jadi mereka tidak kira waktu untuk datang. Kita tidak boleh hendak buat peraturan, buat temu janji dulu, faks surat dahulu. Insya-Allah mereka yang sudah menerima tarbiyah daripada PAS akan mampu untuk menghadapi semua karenah ini.

Waktu menang menguji kesabaran kita dengan kesenangan yang datang kepada kita. Banyak orang boleh bersabar sewaktu susah tetapi tewas ketika senang. Sayidina Umar pernah menyebut, "Kami diuji dengan kesusahan kami boleh sabar dan kami diuji dengan kesenangan kami tidak boleh sabar." Ingatlah sewaktu begini ujian kesenangan datang. Mereka yang tahan diuji mampu menghadapi suasana ini. Mereka tidak berubah cara hidup, sama seperti sebelum menang. Inilah memerlukan kepada pemahaman dan penghayatan tarbiyah yang betul. 

Jika kita mampu mengekalkan cara hidup sebelum menang sama selepas daripada kita menang ia akan memberi semangat kepada petugas parti di peringkat bawah yang bertungkus-lumus tanpa mengharap upah. Mereka akan memberikan apa sahaja yang berada di tangan mereka untuk kemenangan Islam. Tetapi mereka akan tarik "hand brake" secara mengejut jika pemimpin sudah berubah cara hidup mewah, yang berbeza sebelum mereka menang. Ingat! perkara yang paling kita takut menimpa kita ialah apabila ahli dan penyokong setia PAS menjauhkan diri daripada kita dan perjuangan kerana perubahan sikap kita. Ini adalah satu musibah yang besar.

Peringatan Nabi S.A.W perlu diambil peringatan, Daripada Amru ibn 'Auf, bahawa RasuluUah S.A.W telah mengutus Abu Ubaidah Ibn Jarrah (ke Bahrain untuk memungut jizyah). Maka Abu Ubaidah membawa pulang harta itu ke Madinah. Maka orang-orang Ansar telah mendengar perkhabaran kepulangan Abu Ubaidah. Maka mereka datang solat subuh bersama Rasulullah S.A.W. Setelah selesai, Rasulullah S.A.W daripada solatnya maka Baginda hendak pulang ke rumah dan baginda dihadang oleh orang Ansar (yakni berjumpa dan bersalam dengan baginda). Baginda tersenyum ketika memandang mereka. 

Maka sabda Baginda Rasulullah S.A.W, "Aku agak kedatangan kamu kerana kamu dengar kepulangan Abu Ubaidah dari Bahrain dengan membawa balik harta yang banyak." 

Jawab mereka itu, "Bahkan Ya Rasulullah!".

Maka sabda Rasulullah S.A.W, "Gembiralah sekalian kamu yang bercita-cita dan berangan-angan dengan apa yang kamu sukainya. Maka demi Allah aku tidak takut kefakiran yang menimpa diri kamu, tetapi yang aku takut ialah bahawa dibentangkan dunia ke atas sekalian kamu yakni jadi kaya dan senang) sebagaimana yang telah dibentangkan kepada orang-orang yang sebelum daripada kamu. Maka berlumba-lumba untuk mengumpulkan harta. Maka dengan sebab itu membawa kebinasaan sekalian kamu sebagaimana telah binasa mereka yang sebelum kamu". (Riwayat At Turmuzi)

Hadis ini memberikan peringatan kepada kita sewaktu kita diberi nikmat kemenangan dan limpahan rezeki yang lebih sedikit. Manusia mungkin boleh sabar dengan ujian kesusahan yang dialami oleh mereka tetapi gagal untuk sabar dengan ujian kesenangan. Hadis di atas membuktikan bahawa apabila kita diuji dengan kesenangan banyak manusia yang tewas.

Umno dalam bengkel pemulihan mereka selepas PRU-12, sudah merumuskan salah satu cara untuk mengembalikan keyakinan rakyat ialah jangan menunjukkan kemewahan kerana rakyat akan jauh daripada Umno. Insya-Allah kita mengharapkan dengan tarbiyah yang PAS berikan selama ini kepada ahlinya akan mampu menyelamatkan parti daripada kemusnahan. Mereka yang memahami dan menghayati konsep tarbiah dan mengikut manhaj jemaah sahaja yang mampu untuk hidup bersama dengan perjuangan Islam Insya-Allah. - Ustaz Idris Ahmad, TARBAWI

sumber : tarbawi.my.

No comments:

Post a Comment