31 July 2011

SELAMAT MENEMPUH BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK!



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"wahai orang-orang yang beriman! telah difardhukan ke atas kamu berpuasa seperti mana yang telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa"
(al-baqarah : 183)


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
 مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"daripada abi hurairah r.a daripada Nabi Muhammad s.a.w bersabda : barang siapa yang berpuasa di bulan ramadhan dalam keadaan beriman dan mengharap (keampunan Allah swt), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu"
HR al-bukhari, abu daud, an-nasaie, ibnu majah, ahmad dll.



DPPk Segambut anjur bengkel bedah Buku Jingga



pada 30/7/2011 yang lalu, Dewan Pemuda PAS kawasan Segambut telah mengadakan retreat "Membedah Buku Jingga - Manifesto 100 hari Pakatan Rakyat" sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 13 yang bakal tiba tidak lama lagi. alhamdulillah, walaupun menghadapi sedikit masalah disebabkan hujan yang turun dengan lebat pada awal pagi, ia sama sekali tidak mematahkan semangat para petugas dan aktivis PAS untuk hadir ke bengkel ini. bengkel yang telah disertai oleh para petugas dan aktivis dari peringkat dewan pemuda, dewan muslimat, cawangan-cawangan dan PAS kawasan sendiri. bengkel ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Di-Pertuan PAS Kawasan Segambut, Haji Anwar. di dalam ucapannya, beliau telah menegaskan akan peri pentingnya sesuatu gerak kerja pilihanraya itu dimulakan lebih awal supaya segala strategi dan rancangan dapat dijalankan dengan berkesan. seterusnya, bengkel ini telah diteruskan lagi dengan ucapan perasmian yang telah disampaikan oleh saudara Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, Timb Ketua Pemuda PAS WP.


ucapan perasmian sedang disampaikan oleh saudara suhaimi

selesai ucapan perasmian, acara "membedah" Buku Jingga telah diteruskan oleh saudara Nasaie Ismail, Ketua Penerangan PAS WP merangkap S/U Akhbar Presiden PAS. melalui pembentangannya, saudara Nasaie telah membentangkan mengenai mekanisme perlaksanaan manifesto 100 hari PR sekiranya memerintah Malaysia seperti yang telah ditetapkan di dalam Buku Jingga. saudara Nasaie juga telah menekankan kepentingan para ahli memahami kandungan buku tersebut sebagai langkah awal untuk memberikan pemahaman kepada para pengundi mengenai janji-janji Pakatan Rakyat pada PRU akan datang.

sesi penerangan dan Q&A oleh saudara Nasaie Ismail

alhamdulillah, bengkel ini telah mencapai matlamatnya dan tamat mengikut perancangan. DPPk Segambut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan program ini. kepada para pengundi di Parlimen Segambut, nantikan kehadiran program penerangan daripada kami dalam masa yang terdekat, Allahuakbar!

Taklimat UPU Oleh MP Segambut

YB Lim Lip Eng sedang memberi penerangan


demi membuat persiapan dan strategi untuk menghadapi PRU-13 yang dijangka tiba selewat-lewatnya sebelum Tahun Baru Cina tahun hadapan, PAS kawasan Segambut telah mengadakan satu taklimat UPU (Unit Peti Undi) yang telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Segambut, YB Lim Lip Eng. melalui taklimat ini, para petugas PAS dapat mengetahui statistik terkini pengundi baru di kawasan Parlimen Segambut dan juga data undi dari setiap saluran peti undi para PRU 12 yang lalu. melalui taklimat ini juga, para petugas PAS telah dimaklumkan mengenai kekuatan dan kelemahan para petugas PR di setiap UPU pada PRU yang lalu disamping dapat merangka strategi kerja bagi mengatasi masalah-masalah dan isu-isu yang berbangkit. selain itu, para petugas PAS juga telah berkongsi dan bertukar-tukar pendapat dan idea dengan YB Lim mengenai strategi bagi memikat hati pengundi bagi menghadapi PRU yang akan datang. di akhir taklimat ini, YB Lim telah merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada PAS kawasan Segambut di atas penganjuran sesi taklimat dan penerangan yang telah dijalankan pada hari itu. PAS Segambut, melalui saluran cawangan dan dewan-dewannya, komited utk membantu rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk terus mengekalkan kemenangan di Parlimen Segambut ini demi memastikan penguasaan PR ke atas Putrajaya pada PRU 13 nanti menjadi suatu realiti. Allahuakbar!


PAS Segambut anjur Program Beriani Amal

para petugas bergotong royong membungkus nasi dan lauk utk diedarkan





Sg. Penchala : perut kenyang, pahala pun dapat. itulah konsep yang telah diaplikasikan oleh PAS kawasan Segambut melalui program Nasi Beriani Amal yang telah diadakan baru-baru ini. program yang telah berjaya diadakan buat kali kedua ini bertujuan utk mengutip dana aktiviti kemasyarakatan PAS Segambut di peringkat Kawasan, cawangan dan juga dewan-dewan.   menurut saudara Hj Rahim, Naib YDP PAS kawasan Segambut, jumlah kupon yang telah berjaya diedarkan dan dijual pada tahun ini berjaya mencecah sehingga 1400 keping kupon. "alhamdulillah, walaupun tidak mencapai sasaran yang kita tetapkan, namun jumlah jualan kupon pada tahun ini melebihi jualan pada tahun lepas," ujar beliau. program yang telah dijayakan oleh lebih kurang 50 orang petugas PAS ini telah dijalankan secara bergotong royong, secara tidak langsung telah mengeratkan lagi ukhuwan di antara para petugas disamping dapat berkenalan dengan para pembeli kupon-kupon berkenaaan. "kita berharap, program ini dapat dijalankan lagi untuk kali ketiga pada tahun hadapan, dan mendapat lebih banyak sambutan berbanding tahun ini dan tahun lepas," ujarnya lagi.

MP Segambut, YB Lim Lip Eng turut serta sebagai pembeli

para petugas sedang khusyuk bertugas

antara lauk yang disediakan...sedap!

sempat lagi nak bergurau...

PIC yang tegas demi memastikan kelancaran prog

muslimat sebagai nadi kejayaan prog ini =)
 

20 July 2011

PAS Desak Ketua dan Timbalan Ketua Polis Negara Letak Jawatan

PAS mengecam tindakan melampau yang diambil oleh pihak polis dalam menangani isu perhimpunan aman Bersih 2.0, dan sudah terbukti aman 9 Julai 2011 yang lalu.
 
Tindakan ganas dan melampau polis langsung tidak mencerminkan slogan mereka Mesra, Cekap dan Betul – jauhlah lagi terpesong dengan piagam pelanggan mereka, Tegas, Adil dan Berhemah. Polis sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menyebabkan mereka cedera secara sengaja.
 
Kebiadaban anggota polis dan FRU dapat dilihat dengan jelas dari beberapa rakaman video rakyat yang dirakamkan oleh pelbagai sumber samada peserta Bersih 2.0 ataupun media antarabangsa telah  membuktikan kegagalan mereka dalam menjamin keselamatan rakyat.
 
Dalam perhimpunan aman Bersih 2.0, langsung tiada kejadian ganas oleh para peserta sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan media arus perdana sebelum ini.

Oleh itu, kezaliman dan keganasan polis yang menggunakan gas pemedih mata atau tembakan air asid sepatutnya tidak berlaku, kerana tiada langsung sebab untuk mereka menggunakannya.
 
Dengan pelbagai gambar dan video yang terpapar, kenyataan songsang Ketua dan Timbalan Ketua Polis yang kononnya polis diserang and diprovokasi menyebabkan mereka terpaksa bertindak, hanya dapat berfungsi untuk mendedahkan pembohongan beliau sendiri.

PAS mengecam keras tindakan biadab polis ini sehingga menyebabkan kematian seorang peserta saudara Baharuddin Ahmad dan puluhan lagi yang cedera semata-mata tindakan ganas mereka. Ratusan yang tercedera kerana dipukul, disepak dan diheret ke dalam trak adalah pandangan jijik anggota keselamatan, yang tidak sepatutnya berlaku.
 
PAS mendesak agar Ketua dan Timbalan Ketua Polis meletakkan jawatan dan dihadapkan ke tribunal di atas jenayah yang dilakukan.
 
PAS juga mengucapkan syabas kepada setiap peserta Bersih 2.0 kerana kini kuasa sekarang di tangan anda.
 
Andaikan 50,000 dan setiap seorang menyebarkan pengalaman Bersih 2.0 mereka kepada 10 seorang – maka 500,000 rakyat akan terasa – dengan 500,000 setiap seorang berkongsi lagi dengan 5 orang – maka hasilnya 2.5 juta rakyat yang tidak dapat bersama dapat merasai bagaimana kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia pada 9 Julai yang lepas.
 
Dengan perkongsian sedemikian, kita akan sedar bahawa permainan politik yang cuba gempar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia berpecah hanyalah taktik licik Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa mereka.
 
PAS juga ingin mengulangi peringatannya kepada Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap penyokong Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan rakyat kepada kita.
 
Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.
 
8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa.
 
Pakatan Rakyat juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional. Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara.
 
PAS juga merakam takziah kepada keluarga Saudara Baharuddin Ahmad, di atas kemalangan yang menimpa beliau.
 
Semoga tragedi ini akan menyemarakkan kebangkitan rakyat bagi menukarkan kerajaan yang zalim ini.
 
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

18 July 2011

Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali Kembali ke Rahmatullah

 

KUALA LUMPUR, 17 Julai:  Alfatihah buat Allahyarhamah  .Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam tadi.
Kami dari Pemuda Segambut mengucapkan takziah kepada keluarga Beliau. Almarhum adalah seorang Tokoh pejuang islam yang gigih dan kental dalam menghadapi cababaran yang getir dalam memperjuangan agama Agama Islam dan hak rakyat khususnya di parlimen Titiwangsa.

Jenazah beliau kini sedang diusahakan untuk dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat.Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser.

Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.


Menurut anak allahyarhamuha, Muhd Fawwaz, jenazah akan diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.
"Insya allah, akan dikebumikan pada waktu pagi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat,"Semoga rohnya tergolong dari kalangan hambaNya yang solehah. al Faatihah..

13 July 2011

Takwin Bulanan DPPSegambut 2013

JANUARI 2013

01 Januari 2013: Konvoi Pemuda Segambut utk program Dakwah di Putrajaya pada ambang Tahun Baru

4 Januari 2013: / Usrah Pas Kawasan Segambut di Taman SPPK

8 Januari 2013:: Usrah DPPS

12 Januari 2013: Himpunan Kebangkitan Rakyat KL 2013

13 Januari 2013 : Program Jom Gempur habis-habisan  hijaukan Putrajaya, pecutan akhir ambang pilihanraya

29 Januari 2013: Kurus Simulasi Pilihan Raya di KUZM Taman Melewar Gombak

CARTA ORGANISASI

AIDIL SHUKRI (KETUA PEMUDA)
WAN SHAFAREEN (TIM. KETUA PEMUDA)
AHMAD BADRI (SETIAUSAHA)
RADZI YAACOP (BENDAHARI)
SYED ZULKIFLI (NKP)
SALAHUDDIN (P.S.U)
BORHANUDDIN (P.S.U)
ZAFIR (AJK)
IRWAN (AJK)
AIZAT (AJK)
AJIB (AJK)
AFIK (AJK)
ZULKARNAIN (AJK)
NAZRI TAIB (AJK)
HAFIFI (AJK)
TENGKU AZRI (AJK)
FATHIN (AJK)
MUHAMMAD HARUN
MOHD FAKHRUL RADZI
AZHAR ABD RAHMAN
FARHAN IQBAL
JESFRI HENDRI
MOHD FAIZ
ZULKARNAIN MOHD ARIFF

BERSIH 2.0 2011 - LIVE RALLY 9 JULY 2011 [TODAY]


Keahlian PAS

Hubungi Pemuda Segambut:  013399 62790, 019-221 3442
Email: dppsegambut@gmail.com

SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

 
Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang dilihat oleh rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara. Semenjak 1990, PAS telah melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah yang moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan semenjak 1990, kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini PAS mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di Parlimen juga, PAS telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus daripada keseluruhan kerusi pembangkang. Perkembangan ini meletakkan PAS dalam perhatian peminat politik, pengkaji dan juga penyelidik.

Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu
persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.

Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang pengaruh yang berlaku antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal seperti Ikhwanul Muslimun di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke Tanah Melayu melalui para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India dan Indonesia. Ksedaran yang awal ialah para ulamak atau umat Islam memerlukan sebuah pertubuhan atau badan yang boleh mewakili mereka dalam semua aspek kehidupan terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang dijajah oleh British ketika itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya menghasilkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948 kesan daripada usaha gigih Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Walau bagaimanapun, gerakan Islam yang berpusat di Gunung Semanggol ini terkubur ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun 1948.

Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi darurat ini. Ada yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi menggerakkan kesedaran rakyat melalui institusi pendidikan atau media massa. Dalam fraksi yang lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk menyertai parti nasionalis Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam diperkatakan. Beberapa tokoh Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, seorang lepasan Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol telah menyertai Umno pada 1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Bahagian ini kemudiannya mengaturkan beberapa persidangan untuk membolehkan ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum Bersatu dan Belum Punya Persatuan”, Haji Ahmad Fuad menyifatkan kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah yang tidak dihargai kerana tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu ulamak telah muak dengan sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan Natrah, pengajuran judi loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam satu persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran Umno.

Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak dan situasi politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah itu, maka para ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji Ahmad Badawi, seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu manifesto yang dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke Jalan Allah” bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para ulamak menolak bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.

Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah kepemimpin Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias, PAS bercakap soal kemerdekaan yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS menolak kerakyatan jus soli yang merugikan peribumi dan PAS mendesak supaya Islam dijadikan dasar negara yang merdeka. Apabila Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih kepemimpinan PAS pada akhir 1956, PAS mula memperincikan sikapnya terhadap kemerdekaan yang hendak dicapai yang dianggap ’masih kosong’ dari
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,

”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci”2.

Penyertaan PAS dalam pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak Lotfi Omar di Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah sebagai kerajaan di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan ideologi perjuangannya yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun begitu, kerajaan PAS di Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961 hasil permainan politik kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya bertahan sehingga BN mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam konteks ini, PAS-lah satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di negara ini.

Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969 yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965 telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.

PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan.

Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan non-Muslim sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.

Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah beberapa siri penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989, ketimbang dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno pada 1984. Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987, Umno pula menghadapi krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut diharamkan. Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar ’Membangun Bersama Islam’, PAS berjaya melaksanakan tanggungjawabnya untuk menegakkan hukum Allah yang berada dalam bidang kuasana.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada rakyat, kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, PAS berjaya merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada 2004 kerana momentum Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008 dengan mengetuai tiga kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan di Selangor. Kini, PAS dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam menguasai politik orang Melayu Islam.

Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji yang menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami empat jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3. Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.


1 Burhanuddin al-Helmy (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm. Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1, Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.

12 July 2011

Selamat Datang ke Laman Blog Rasmi Dewan Pemuda Pas Segambut

Assalamualaikum wbt.Selamat datang ke Dewan Pemuda Pas Segambut. DPPSegambut adalah sebuat organisasi dari Pas Kawasan Segambut. Motif  utama kami adalah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah dan mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.Semoga anda akan mendapat manfaat seperti ilmu-ilmu berkaitan dengan politik semasa, rohani dan jasmani, keugamaan dan aktiviti yang dijalan oleh DPPSegambut. Sekian terima kasih. Wassallam.