KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

TUBUH SIASATAN BEBAS DAKWAAN VISA ANTARABANGSA ALTANTUYA
(13 April 2012)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak kerajaan membuat siasatan berhubung dakwaan bahawa Altantuya Shaariibuu diberikan visa untuk memasuki Perancis menggunakan nama Amina Abdullah. Lebih serius lagi apabila dakwaan tersebut mengaitkan Altantuya dengan kabel politik pemimpin tertinggi negara ini, iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

DPPM menganggap tuduhan itu terlalu berat kerana melibatkan penyelewengan kuasa pemimpin negara serta pegawai-pegawai kerajaan. Tuduhan yang dilontarkan oleh bapa Altantuya, Setev Shaariibuu menimbulkan lebih banyak polemik dan misteri yang tidak terjawab. Dakwaan ini sedikit sebanyak merungkaikan misteri pembunuhan model Mongolia itu serta skandal komisen kapal selam Scorpene yang sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah Perancis.

Dalam kes ini, DPPM merasa hairan bagaimana ada individu tertentu yang mempunyai kuasa boleh mengarahkan pemberian visa kepada individu tertentu tanpa prosedur yang betul. DPPM difahamkan bahawa prosedur pengeluaran visa terhadap warga Mongolia mesti dibuat di negara mereka sendiri. Lebih dari itu, bagaimana Altantuya boleh menggunakan nama Amina Abdullah dalam visa nya? Apakah kaitan Altantuya dengan Datuk Seri Najib atau Abdul Razak Baginda sehingga beliau mempunyai keistimewaan tersendiri dan dilayan sedemikian rupa?

Jika demikian keadaannya, tidak mustahil rekod kemasukan Altantuya di Malaysia dipadamkan oleh pihak Imigresen Malaysia. Persoalannya, siapakah yang mengarahkan kesemua tindakan ini. Rakyat berteki-teki bahawa individu yang mengarahkan semua tindakan adalah mereka yang berkuasa ke atas pegawai kerajaan, dan individu itu pula sedang dalam ketakutan kerana bimbang rahsia besarnya akan terbongkar.

Jika benar dakwaan Setev itu, DPPM merasa kesal kerana Malaysia masih mempunyai individu yang kebal disisi undang-undang. Mereka ini bebas melakukan apa sahaja termasuk melanggar undang-undang negara dan selamat dari sebarang dakwaan.

Justeru, DPPM bersetuju dengan gesaan Datuk Haji Mahfuz Omar supaya kerajaan menubuhkan suatu jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan ini. Kerajaan perlu bersikap telus bagi memastikan tiada insan yang bersalah yang terselamat dari jenayah kejam ini, sebaliknya tiada insan yang tidak bersalah ‘di kambing hitamkan’. Kematian Altantuya serta rayuan seorang ayah yang berasal dari Mongolia mahu melihat pembelaan sewajarnya diberikan terhadap kematian anaknya perlu diberikan perhatian. Jika benar kerajaan Malaysia mahu melaksanakan Islam dalam negara ini, serta mahu memupuk keadilan dan kesejahteraan terhadap rakyatnya, buktikan dengan siasatan secara jujur dan adil.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia