31 October 2011

PAS kecam Soi Lek Cetus Polemik Agama



PAS mengecam tindakan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang akhir-akhir ini banyak menceroboh dasar-dasar Islam dalam komentarnya yang melampaui batas susila bermasyarakat yang menjamin kebebasan beragama dan saling menghormati antara agama.

Sikap hormat terhadap agama lain untuk mempraktik ajaran masing-masing tidak pernah dibantah oleh umat Islam dan inilah intipati kepada teras perpaduan negara. Namun PAS kesal sikap campurtangan melampau beliau akan mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama.

PAS menyangkal keras kenyataan bahawa dengan pelaksanaan hukum hudud menyebabkan pelabur tidak akan datang dan menakutkan masyarakat bukan Islam. Sedangkan Arab Saudi yang melaksanakan sistem perundangan Islam menjadi rakan pelabur utama China dan negara Barat.

Para pelabur sangat mengharapkan satu jaminan keselamatan terhadap pelaburan mereka dan ini dibuktikan dengan kejayaan pelaburan mereka di negara yang melaksanakan syariat Islam.

Apa yang mendukacitakan ialah kebimbangan beliau kepada pelaksanaan hukum Islam yang hanya akan dikenakan kepada umat Islam sahaja; yang bertujuan menyelamatkan masyarakat dan negara dari kejahatan penjenayah samada terhadap harta atau nyawa dan keselamatan masyarakat.

Kejahilan akibat berkawan dengan Umno menyebabkan beliau yang gagal menyelesaikan masalah dalaman MCA, kini cuba menyembunyikan kelemahan pentadbirannya dan menarik sokongan masyarakat Cina dengan menyerang hukum Islam.

Tindakan bacul ini akan hanya menambah kebencian masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap MCA, sebab sebahagian rakyat sudah tidak terkejut kerana umum mengetahui ia datang daripada seseorang yang mempunyai latar belakang yang tidak melayakkan seseorang menjadi pemimpin berwibawa.

Lebih malang kini, Umno yang menjadi tulang belakang BN bersikap diam membisu terhadap beberapa kritikan melampau parti-parti dalam komponan BN terhadap ajaran Islam. Sikap lepas tangan Perdana Menteri dan para pemimpin Umno mengambarkan Umno hanya berminat menjaja isu agama sebagai modal politik daripada menjamin sikap hak beragama dilaksanakan.

27 October 2011

KENYATAAN MEDIA TUAN IBRAHIM: Laporan Audit tak berkesan, BN hanya faham bahasa “Peti Undi”



Inilah kesimpulan dari Laporan Audit 2010 yang sekali lagi menegur kelemahan ketara dalam pengurusan kewangan negara terutamanya dalam pengurusan projek dan membeli perkakas.

Walaupun Ketua Audit Negara (KAN) telah membuat pelbagai teguran setiap tahun, namun perkara yang sama terus dilakukan, yakni budaya ketirisan, keborosan dan pembaziran yang disemai BN terus subur tanpa sebarang kekesalan. 

Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang. Sebagai contoh, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).

Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding.

Selain itu, juga dilaporkan kesanggupan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan. Antara yang paling menjengkelkan ialah pembelian sebuah binokular pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

MARA (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga MARA.

Selain itu, syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, hutang negara meningkat 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion di 2009, dan ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%.

Semua di atas menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN, jesteru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini. 

Kekecewaan ini akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab. 


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
25 Oktober 2011