9 March 2012

SANGGUPKAH DATUK SERI NAJIB MEMOHON MAAF KEPADA KELUARGA ALTANTUYA?



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

SANGGUPKAH DATUK SERI NAJIB MEMOHON MAAF KEPADA KELUARGA ALTANTUYA?
(9 Mac 2012 / 16 Rabiulakhir 1433)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat isu yang melibatkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu semakin mencalarkan imej Datuk Seri Najib di mata masyarakat. Penghakiman bertulis yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin seakan mahu mengheret ‘seseorang yang berkuasa’ di sebalik pembunuhan model tersebut.

Penghakiman ini mewujudkan persoalan dan persepsi masyarakat, adakah institusi mahkamah dalam kes ini benar-benar bebas berfungsi ataupun telah diikat dan dikongkong oleh mereka yang  berkuasa dibelakangnya. Lebih mengusutkan keadaan apabila dalam penghakimannya, Datuk Mohd Zaki Md Yasin merumuskan bahawa motif pembunuhan tidak penting walaupun ianya relevan. Tidak penting tujuan bunuh, justeru, mengapa Altantuya dibunuh?

Dua orang yang telah didapati bersalah adalah anggota Unit Tindakan Khas iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar. Kedua-dua mereka adalah pegawai keselamatan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu. Soalnya pula, bagaimana kedua-dua anggota ini yang bertugas menjaga keselamatan pemimpin negara boleh terlibat melakukan operasi membunuh ini dengan begitu kejam? Apa kaitan kedua-dua mereka dengan Altantuya? Tidak mungkin anggota polis melakukan jenayah ini tanpa sebab. Mesti ada arahan oleh mereka yang lebih tinggi darinya untuk melakukan perbuatan itu

DPPM berpandangan, sepatutnya misteri kes ini mudah terjawab dengan merungkai satu demi satu persoalan sehingga akhirnya akan menemui jawapan yang sebenar. Lihatlah bagaimana kes Datuk Sosilawati yang dibunuh dengan modus operandi yang hampir sama. Kes ini disiasat dengan beitu teliti sehingga akhirnya menemukan motif pembunuhan tersebut. Namun demikian, dalam kes Altantuya motif pembunuhan ditutup seakan mahu menutup terus cerita ini dari terus disiasat.

Walau apa pun alasannya, rakyat melihat pembabitan Datuk Seri Najib dalam kes ini. Meskipun mungkin beliau tidak terlibat secara langsung, namun pembabitan kedua-dua anggota keselamatan dalam kes ini amat merendahkan reputasi beliau. Tambahan pula, orang kepercayaan beliau Abdul Razak Baginda juga dikatakan terlibat meskipun kemudiannya dibebaskan dan didapati tidak bersalah. Kes ini juga amat memalukan negara di mata dunia kerana dunia menganggap Malaysia bukanlah sebuah negara yang selamat dikunjungi. Apa yang berlaku kepada Altantuya tidak mustahil juga berlaku kepada pelancong lain yang berkunjung ke negara ini.

Dalam keadaan Datuk Seri Najib merayu-rayu rakyat dengan permohonan maaf dan menyesali atas ‘ketelanjurannya’, sanggupkah beliau memohon maaf kepada keluarga Altantuya atas pembabitan bekas pegawai keselamatannya? Beranikah beliau berdepan dengan keluarga mendiang dan memohon maaf kerana kejadian itu berlaku di Malaysia? Berjiwa besarlah beliau jika sanggup mengaku salah atas apa yang berlaku terhadap model Mongolia itu.


Disediakan oleh;

RIDUAN  MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment