27 March 2012



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

BERSIHKAN IMEJ POLIS : DAKWA MEREKA TERLIBAT
(27 Mac 2012)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong gesaan YB Dato’ Haji Mahfuz Omar supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara atas dakwaan melindungi penjenayah untuk membersihkan nama polis dan juga jabatan kerajaan.

Ini kerana, keengganan kerajaan mendakwa bekas Ketua Polis Negara dan Peguam Negara akan lebih mencalarkan imej kerajaan di mata rakyat. Yang didakwa melindungi kumpulan kongsi gelap besar di negara ini pula bukan pegawai polis berpangkat rendah, tetapi bekas Ketua Polis Negara sendiri. Manakala tuduhan terhadap Peguam Negara pula menandakan bahawa badan perundangan negara sedang dikawal oleh kuasa lain sehinggakan kegiatan kongsi gelap juga boleh dilindungi dari tindakan undang-undang.

Keengganan kerajaan mendakwa mereka yang didakwa ini juga menunjukkan bahawa kerajaan seakan melindungi golongan yang berkepentingan. Mereka yang berprofil tinggi, berjawatan besar dan ada kedudukan tersendiri seolah-olah kebal dari sebarang tindakan undang-undang. Sebaliknya, jika rakyat bawahan yang didakwa terlibat, mereka pasti akan diseret ke muka pengadilan.

Akhirnya, DPPM melihat jika kerajaan benar-benar mahu menjaga integriti institusi di bawahnya, kerajaan perlu bersikap telus dan adil dalam melaksanakan amanah mereka. Tahap kepercayaan rakyat perlu dikembalikan, dan antara langkah utama ialah mendakwa semua yang terlibat di muka pengadilan. Tidak ada gunanya pemimpin negara melindungi mereka yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan, kerana kredibiliti kerajaan akan terus dipertikaikan oleh rakyat.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment