KENYATAAN MEDIA
PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

BANJIR KILAT DI KUALA LUMPUR : WARGA KOTA DIHARAP BERSABAR!
(8 Mac 2012)

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) melahirkan rasa simpati ke atas warga Kuala Lumpur yang menghadapi musibah banjir kilat semalam. Hujan yang turun lebat sejak petang semalam menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa buah kawasan sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Malah ada penduduk yang dilaporkan terpaksa dipindahkan kerana rumah mereka dilanda banjir. Ia juga menyebabkan kesesakan trafik luar biasa di Kuala Lumpur pada hari ini.

Kejadian semalam berlaku kali ketiga sejak tahun lepas. Banjir kilat begitu cepat melanda dalam beberapa jam sahaja hujan lebat turun, menandakan ada kawasan-kawasan tertentu yang bermasalah sehingga air mudah bertakung dan melimpah membanjiri kawasan di bandaraya.

Dengan kejadian ini, PAS WP benar-benar berharap supaya pihak berkuasa mengambil langkah keselamatan dan pencegahan bagi memastikan tidak lagi berlaku banjir sekitar ibukota. Sesuatu perlu dilakukan dengan mengambil kira kawasan-kawasan yang mudah ditenggelami banjir dengan beberapa pelan tindakan segera. Sudah pasti warga Kuala Lumpur tidak selesa sekiranya banji kilat kerap melanda kawasan mereka. Lebih dari itu, aktiviti seharian Kuala Lumpur akan terjejas terutama kepada peniaga-peniaga kecil.

Akhirnya, PAS WP mendoakan semoga mangsa banjir bersabar di atas musibah yang berlaku. PAS WP juga meminta semua warga Kuala Lumpur dapat mengambil langkah keselamatan menjelang waktu begini bagi mengelakkan kejadian tidak diiingini berlaku terutama di kawasan yang sering dilanda banjir. Bagi PAS WP sendiri, akan bersama dengan penduduk berusaha sedaya mungkin bagi memberikan bantuan yang terbaik kepada mangsa yang terlibat.

Disediakan oleh;

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia