27 August 2011

PERUTUSAN HARI RAYA KETUA PEMUDA DPP KAWASAN SEGAMBUT




Assalamualaikum WBT Sahabatku Pemuda Islam,

Aidilfitri bakal kunjung tiba, menandakan Ramadhan hampir berlalu pergi meninggalkan kita. Ramadhan berasal daripada perkataan ”ramda” bermaksud panas atau hampir membakar. Moga-moga Ramadhan telah membakar dosa-dosa yang pernah kita lakukan selama ini insya Allah.

Ramadhan merangsang sekurang-kurangnya 2 deria iaitu deria rasa melalui lidah dan melihat melalui mata. Bukankah 2 deria inilah antara jalan untuk mengetuk hati kita seterusnya mengingati Allah SWT? Bagaimana boleh berlaku?

Begini wahai sahabatku pemuda. Ketika berpuasa, lidah kita dikekang daripada merasa makanan dan minuman mengakibatkan lapar dan dahaga. Saat yang paling indah ialah ketika kita berbuka puasa kerana dapat merasai betapa nikmatnya makanan dan minuman. Ketika inilah hati kita akan tersentuh seterusnya mengingati pemberi nikmat rasa ini iaitu Allah SWT. Dalam bulan Ramadhan, mata kita juga dilatih untuk tidak melihat maksiat, sebaliknya lihatlah perkara yang baik-baik seperti melihat pemandangan indah, orang-orang miskin, wajah ibu bapa dan lain-lain. Ketika inilah hati kita akan tersentuh melahirkan rasa cinta kepada Allah SWT dan kasih sayang sesama insan.

Setelah tamat mengharungi madrasah tarbiyah Ramadhan ini, diharapkan menjadikan kita insan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, insan yang suci bersih seperti bayi yang baru dilahirkan ke dunia. Dengan ini, barulah menjadikan Aidilfitri yang bakal kita sambut suatu yang sangat bermakna sesuai dengan pengertiannya iaitu perayaan fitrah.

Ayuh pemuda !!! Marilah kita sama-sama membakar semangat dan menanam azam baru untuk terus bersama berganding bahu dalam mendaulatkan agama Allah di muka bumi ini, sebagai bukti hati yang sentiasa mengasihi Nya. 

Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin !!!

Wassalam.

Ketua Pemuda DPPK Segambut
27 Ramadhan 1432H / 27 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment