22 July 2012

Perutusan Ramadhan TG Presiden


DENGAN nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, penghulu segala Nabi dan Rasul. Selawat dan salam juga ke atas keluarga baginda dan seluruh sahabatnya. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa kepada Allah.” alBaqarah: 183 Ayat ini menjelaskan bahawa matlamat terpenting dari ibadah puasa bukan sahaja semata-mata ibadat, tetapi termasuk jugalah mentarbiyahkan diri seseorang yang beriman supaya menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Taqwa merupakan penentuan kedudukan martabat manusia di sisi Allah SWT, kerana Allah SWT tidak menentukan kedudukan manusia berdasarkan kepada keturunan, bangsa, warna kulit, pangkat dan harta benda tetapi ditentukan dengan sifat taqwa yang ada pada diri masing-masing.

Walaupun kita seorang kaya ataupun kita miskin, sama ada kita orang berkuasa atau tidak berkuasa, ia bukan ukuran kedudukan kita di sisi Allah SWT. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa.” Ibadah puasa melahir dan mentarbiyah seseorang yang beriman supaya menjadi orang yang bertaqwa kepadaNya, kerana di bulan Ramadan amalan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa adalah secara praktikal, melatih seseorang itu bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya. Dari segi amalan yang zahir, seseorang yang berpuasa diwajibkan meninggalkan makan minum, pergaulan dengan isteri, meninggalkan apa yang dihalalkan pada masa yang lain, dan menjadi sebahagian naluri
manusia yang bertaqwa. Tetapi perkara yang menjadi perintah supaya meninggalkannya di waktu siang hari di bulan Ramadan.

Apabila seseorang manusia itu sanggup meninggalkan perkara yang
dihalalkan oleh Allah di masa yang lain semata-mata kerana taat kepada Allah, dengan mengerjakan ibadah puasa dan meninggalkan perkara-perkara
yang membatalkan, dengan sendirinya melatih dirinya menjadi orang yang
taat dengan sifat taqwa kepada Allah Taala.

Sesungguhnya dari segi rohani dan hak orang yang berpuasa mestilah dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Keikhlasan melalui ibadah puasa lebih terserlah dari ibadah-ibadah yang lain kerana ibadat puasa wajib disembunyikan dan tidak dinyatakan. Ibadat yang lain lebih bersifat dinyatakan.

Orang nampak kita bersembahyang, tetapi orang tidak nampak kita berpuasa, semasa kita tidak makan, tetapi seorang yang berpuasa sanggup
meninggalkan perkara yang membatalkan puasa sama ada dilihat oleh orang
atau tidak. Di sini menyerlahkan keikhlasan, beribadat kepada Allah yang
melahirkan sifat taqwa, yang tersirat di dalam hati, bukan dari amalanamalan
yang zahir.

Di antara adab puasa juga ialah meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala walaupun tidak membatalkan puasa, melihat yang
haram, bercakap yang haram dan sebagainya yang merupakan tegahantegahan yang baik yang berkait dengan akhlak yang buruk yang tersirat di dalam hati. Dengan melaksanakan kewajipan ini juga, melahirkan sifat taqwa kepada Allah.
Seterusnya di bulan Ramadan, kita dihidangkan dengan amalan ibadat sunat yang banyak seperti membaca Quran, sembahyang Tarawih, menjamu berbuka puasa, bersedekah makanan kepada orang yang berbuka puasa. Amalan-amalan ini juga adalah amalan-amalan yang membentuk peribadi samada yang menghubungkan kita dengan Allah atau hubungan kita dengan sesama manusia, keluarga dan jiran.
Menunjukkan bahawa di bulan mulia ini kita menjadi tetamu Allah SWT dihidangkan dengan makanan-makanan, bukan sahaja makanan zahir yang
menyihatkan badan untuk menguatkan diri melaksanakan perintah Allah, dalam masa yang sama makanan-makanan rohani yang membersihkan jiwa
dan mengikhlaskan hati sehingga membentuk menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah. Di sinilah terserlah kenyataan Allah, di hujung ayat yang menyatakan wajib berpuasa, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

No comments:

Post a Comment