29 May 2012

TAHNIAH KELANTAN : BUKTI PAS MAMPU TADBIR NEGARA


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana berjaya mengusahakan projek pembinaan lebuhraya dri Kuala Krai ke Kota Bharu yang bernilai RM 1.8 bilion. 

DPPM percaya pembinaan lebuhraya ini adalah hasil dari kecekalan dan kesungguhan pemimpin PAS berjuang demi rakyat dan bukannya khayalan atau gimik politik seperti tohmahan sesetengah pihak. Hanya dengan sikap amanah, adil, jujur dan bersih serta menjauhi rasuah atau penyelewengan kuasa menjadikan kerajaan PAS Kelantan mampu berdikari meskipun tanpa bantuan kerajaan pusat. Ia juga menjadi petanda bahawa PAS bersedia memimpin negara ini jika diberikan mandat oleh rakyat kelak. 

Apa yang lebih membanggakan lagi, kerajaan Kelantan berjaya menunjukkan contoh Negara Berkebajikan yang dicanangkan PAS selama ini dan juga dalam Buku Jingga seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat iaitu dengan pembinaan lebuhraya tanpa tol – sesuatu yang tidak pernah difikirkan munasabah oleh pemerintahan UMNO-BN. Malah, konsep wakaf dan sumbangan daripada orang ramai serta syarikat berteraskan kerajaan (GLC)  memberi gambaran bahawa projek ini adalah hasil titik peluh daripada kerajaan dan rakyat negeri itu yang bekerjasama membangunkan negeri tersebut. 

DPPM juga merasa kecewa kerana kerajaan pusat gagal memberikan kemudahan lebuhraya kepada rakyat Kelantan seperti yang sepatutnya. Berpuluh tahun rakyat Kelantan dinafikan hak daripada memiliki pelbagai kemudahan sehingga mereka terpaksa memikirkan kaedah lain bagi mengatasi masalah mereka. Malah royalti minyak yang sepatutnya dimiliki oleh kerajaan Kelantan turut dinafikan dengan pelbagai alasan. Rakyat Kelantan ibarat warga negara asing yang menjadi kelas kedua dan tidak layak mendapat apa-apa kemudahan dalam negara ini.

Ternyata UMNO gagal membela nasib umat Melayu yang sebangsa dengan mereka hanya kerana dipisahkan oleh ideologi politik kepartian. Sifat pendendam, dengki, khianat dan benci terhadap parti lain yang sebangsa dengan mereka menunjukkan UMNO tidak layak memerintah negara ini. Rakyat Kelantan wajar menunjukkan jalan keluar buat UMNO di Kelantan dan di seluruh negara dalam Pru ke 13.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia  

No comments:

Post a Comment