29 May 2012

NAJIB HANYA BERANI DALAM GELANGGANNYA SAHAJA


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengecam sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya berani berani bercakap melalui media untuk mengutuk Pakatan Rakyat. Datuk Seri Najib dalam satu kenyataannya mengutuk cadangan ekonomi Pakatan Rakyat (PR) sebagai janji populis yang direka untuk mendapat kuasa.

DPPWP menganggap PM seorang penakut apabila hanya berani berselindung di sebalik media yang dikuasainya serta bercakap melalui forum yang dianjurkan oleh pihaknya. Beliau bebas bercakap apabila tidak ada pihak yang mampu menjawab langsung hujah beliau di atas pentas tersebut manakala media pula dikawal beliau sepenuhnya.  Beliau hanya lantang bersuara dalam gelanggang miliknya tetapi kecut apabila diajak berdebat satu lawan satu dengan musuh politik beliau.

DPPWP menegaskan, segala janji dan komitmen PR dalam memastikan kebajikan rakyat bukan suatu omongan atau janji populis bagi mendapat sokongan rakyat. Ia adalah realistik berdasarkan kemampuan negara serta boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan benar-benar bersih, telus dan adil. PR pula bukannya bodoh untuk menabur janji atas kayangan yang tidak mampu tertunai, malah PR juga memiliki ramai pakar-pakar ekonomi yang mahir dalam semua bidang serta mempunyai pengalaman yang luas merangka polisi negara.

Sebenarnya, BN telah gagal menawarkan kebajikan terbaik kepada rakyat berbanding PR. PM perlu akuinya yang menjadi sebab beliau terpaksa mengalih isu dengan menyerang PR. Mungkin kerana sikap pemimpin sepertinya yang berjuang untuk kepentingan diri sendiri sehingga beliau gagal mencari formula untuk membantu rakyat. Mungkin juga kerana amalan rasuah, penyelewengan, ketirisan yang melampau di bawah pemerintahan beliau menyebabkan beliau sukar menerima segala tawaran PR yang lebih mesra rakyat.

Jika benar tuduhan PM bahawa PR hanya janji populis, DPPWP mencabar PM supaya menerima pelawaan debat antara beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tuduhan beliau perlu dilemparkan di pentas berdebat dan juga peluang mendengar hujah balas daripada PR berkenaan tawaran mereka. Barulah rakyat kenal siapa yang retorik, populis dan siapa pula yang bersikap realistik.

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment