29 June 2012

PEMUDA PAS KE ARAH MEMENANGI PILIHANRAYA KE-13

artikel asal : tarbawi.my

Muwaajahah Silmiyyah (pendekatan secara aman) yang dipilih oleh PAS melalui ijtihad para alim ulama'-nya telah meletakkan PAS satu-satunya Gerakan Islam yang mendaftarkan partinya sebagai sebuah parti politik untuk menyertai saingan pilihanraya ke arah menguasai, mentadbir dan memerintah negara secara demokratik. Kaedah asas yang masyhur digunakan oleh PAS untuk menyertai piliharaya adalah :

"Sesuatu perkara yang tidak sempurna sebuah kewajiban melainkan dengannya maka perkara itu juga hukumnya wajib."

Berjuang untuk menegak dan mendaulatkan Islam adalah menjadi kewajipan setiap individu umat Islam. Sebagaimana firman Allah Taala :

"Dan berjuanglah menentang mereka (musuh Allah) sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) jadilah cara dan gaya hidup itu milik Allah Taala. Kemudian jika mereka menghentikan permusuhan, maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim." - Surah al Baqarah:193

Menyertai pilihanraya dan bekerja untuk memenanginya adalah sebuah perjuangan suci untuk memastikan Islam dan segala hukum syariatnya dapat ditegak dan didaulatkan di atas tanahair kita. Justeru itu pilihanraya adalah sebahagian dari ibadah yang membuka peluang setiap petugasnya meraih pahala daripada Allah Taala asal sahaja ia ikhlas dalam setiap gerak tindaknya.

Hadis Abi Asya'ri R.H bahawa seorang lelaki badawi mendatangi Nabi S.A.W lantas bertanya (bermaksud), "Wahai Rasulullah S.A.W, seseorang berjuang supaya memperolehi harta ghanimah, ada yang berjuang supaya namanya disebut-sebut, ada yang berjuang supaya dilihat kedudukannya, maka siapakah yang benar (ikhlas) berjuang di jalan Allah (fi sabilillah). Maka Nabi S.A.W menjawab, "Barangsiapa yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah Taala maka dialah pejuang di Jalan Allah." - Muttafaq A'laih

Memahami Konsep Dan Falsafah Pilihanraya

Pilihanraya adalah medan untuk kita memilih dan menobatkan pemimpin negara sama ada bagi peringkat Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Semua parti yang menyertai pilihanraya akan menawarkan pemimpin mereka untuk dipilih atau diundi oleh rakyat yang layak (pengundi) semasa pilihanraya berlangsung. Kemenangan sesebuah parti atau gabungannya dengan penguasaan dua pertiga atau simple majority membolehkan parti tersebut membentuk kerajaan. Tanpa menang sekurang-kurangnya dengan simple majority, kerajaan tidak boleh dibentuk.

Justeru itu, kaedah pilihanraya sangat berbeza dengan kaedah perang atau kaedah gerila sebagaimana berlaku dinegara-negara lain yang berorientasikan tangkap dan bunuh musuh. Sebaliknya pilihanraya adalah satu medan-juang untuk menawan, mempengaruhi dan memenangi hati pengundi seramai mungkin agar memberi sokongan kepada parti yang bertanding lalu diterjemahkan dengan undi yang dilakukan pada hari pengundian dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Pilihanraya di negara kita mempunyai tempoh kempen rasmi dan tidak rasmi bagi membolehkan pekerja parti mendekati pengundi lantas menjelaskan risalah perjuangan masing-masing dan berusaha memaut sokongan pengundi tersebut. Setiap petugas parti selayaknya memahami tanggungjawab dan peranan mereka untuk bertindak sesuai dengan dua tempoh tersebut.
  • Tempoh rasmi yang dimaksudkan ialah tempoh yang bermula dari hari penamaan calon hinggalah ke hari pembuangan undi.
  • Tempoh tidak rasmi pula ialah bermula dari hari pengisytiharan keputusan pilihanraya umum hinggalah ke hari penamaan calon untuk pilihanraya umum yang berikutnya.

Latar Belakang Pilihanraya Umum Ke-13

Pilihanraya umum ke-13 kelak berpotensi untuk menyaksikan jumlah pengundi dari kalangan generasi muda akan mencapai lebih 7 juta orang dan ini menepati sekitar 50% dari keseluruhan pengundi berdaftar. Pilihanraya ini juga berlangsung di saat UMNO dan BN melakukan pelbagai terma transformasi dalam pelbagai lapangan pula termasuk politik dan ekonomi. Sejauh mana ia mencapai kejayaan menjadi satu persoalan, sementara projek transformasi tersebut menjadi harapan rakyat kepada UMNO dan BN dan ini pula menjadi satu lagi persoalan yang harus didepani oleh kita.

Tarikh pilihanraya umum ke-13 yang masih menjadi teka-teki , apakah ia akan dilangsungkan sebelum atau selepas proses reformasi pilihanraya dilakukan. Sebelum dan selepas, kedua-duanya mempunyai prospek tersendiri yang boleh diraih keuntungannya oleh kedua-dua pihak iaitu penyandang pemerintah dan bakal pemerintah.

Pendekatan Pemuda PAS Untuk Memenangi Pilihanraya Umum ke 13 

Pemuda PAS mestilah komited menjadi rakan ganding generasi Y pada hari ini iaitu :
  • Rakan maklumat yang aktif.
  • Rakan penentangan yang kreatif.
  • Rakan inspirasi yang kolektif.
  • Rakan jaringan yang interaktif.
  • Rakan pengundian yang assertif.
"Pemuda PAS perlu memposisikan diri di khalayak anak muda dan perlu tampil dilihat mewakili generasi muda. Tidak boleh ekslusif, beraksi dalam gelanggang organisasi parti semata-mata tetapi mestilah masuk menyertai kumpulan anak muda."

"Pemuda PAS hendaklah memahami kehendak dan suara hati anak muda dan mampu turut bersama mendokong aspirasi dan memperjuangkan idealism mereka selama mana tidak bertentangan dengan Islam sebagai dasar perjuangan kita."
"Pemuda PAS mesti berani menerima kepelbagaian dalam pemikiran dan sikap anak muda serta bersama memimpin atas kepercayaan yang sama demi kebaikan masa depan negara."

"Pemuda PAS perlu menyediakan banyak ruang untuk anak muda mesra berasimilisasi samaada melalui struktur formal atau tidak formal melalui aktiviti-aktiviti anak muda."

Syakhsiah Pemuda PAS Untuk Memenangi Pilihanraya Umum ke 13

Pemuda mesti mewarisi akhlak Rasulullah S.A.W sebagai pemikat untuk memenangi hati pengundi dalam semua bentuk pendekatan yang dilaksanakan. Firman Allah :

Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesunggulinya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya." - Surah Ali Imran:159

Pemuda PAS yang memiliki akhlak Islam sayugianya tidak melakukan perkara yang tidak layak bagi seorang pejuang terutama dalam usaha untuk memenangi hati pengundi. Antaranya perkara-perkara seperti berikut :
  • Bercakap dan bertindak kasar serta kesat.
  • Mencipta sengketa dan meramaikan musuh.
  • Menghina dan mendedahkan keaiban peribadi orang.
  • Sempit dada dan tidak mendengar pandangan orang lain.
  • Mendedah dan menerima maklumat tanpa fakta.
  • Melampau dan keterlaluan dalam tindakan.
Islam mengajar prinsip akhlak dalam perjuangan sekalipun dalam medan peperangan. Antaranya:

"Dan berjuanglah di jalan Allah (kerana menegak dan mempertahankan agama Allah), memerangi orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau (dengan memulakan peperangan); kerana sesunggulinya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau." - Surah al Baqarah:190

Prinsip tersebut ialah :
  1. Berjuang mestilah di atas landasan fi sabiliLlah.
  2. Hanya menentang mereka yang menentang kita.
  3. Jangan melampaui batas dalam tindakan.

Teknikal Pemuda PAS Untuk Memenangi Pilihanraya Umum ke-13.
Memastikan jentera pilihanraya pemuda telah dilengkapi dengan struktur yang menepati keperluan organisasi dan gerak kerjanya serta memiliki keupayaan asas gerak kerja pilihanraya terkini seperti :
  1. Daftar pengundi muda dan semakan pendaftarannya.
  2. Jejak pengundi muda dan khidmat untuk mereka.
  3. Salur maklumat kepada pengundi muda melalui sarana mereka.
  4. Mengatur program dan mencipta suasana yang berkesan.
  5. Mengumpul dana secukupnya untuk kelancaran gerak kerja.
Memenangi pilihanraya bukanlah suatu perkara mudah terutama berdepan dengan kekuatan parti lawan yang turun dengan segala kekuatan dan kelebihan mereka sebagai parti pemerintah, pula berhadapan dengan pelbagai manipulasi pilihanraya. Jentera pilihanraya Pemuda PAS mestilah cekal, tabah dan bijak menangani apa jua situasi getir yang tidak dijangka. Mampu membuat keputusan cepat dan tepat di saat keadaan memerlukannya. Akhirnya, Pemuda PAS mesti yakin bahawa kemenangan dalam pilihanraya adalah tertakluk sepenuhnya kepada ketentuan Allah Taala. Setelah kita berusaha segalanva, bertawakkallah kepada Allah, mintalah pertolongan dengan solat dan munajat yang selayaknya menjadi senjata utama skuad Pemuda PAS turun ke medan.

No comments:

Post a Comment