27 August 2011

PERUTUSAN HARI RAYA KETUA PEMUDA DPP KAWASAN SEGAMBUT




Assalamualaikum WBT Sahabatku Pemuda Islam,

Aidilfitri bakal kunjung tiba, menandakan Ramadhan hampir berlalu pergi meninggalkan kita. Ramadhan berasal daripada perkataan ”ramda” bermaksud panas atau hampir membakar. Moga-moga Ramadhan telah membakar dosa-dosa yang pernah kita lakukan selama ini insya Allah.

Ramadhan merangsang sekurang-kurangnya 2 deria iaitu deria rasa melalui lidah dan melihat melalui mata. Bukankah 2 deria inilah antara jalan untuk mengetuk hati kita seterusnya mengingati Allah SWT? Bagaimana boleh berlaku?

Begini wahai sahabatku pemuda. Ketika berpuasa, lidah kita dikekang daripada merasa makanan dan minuman mengakibatkan lapar dan dahaga. Saat yang paling indah ialah ketika kita berbuka puasa kerana dapat merasai betapa nikmatnya makanan dan minuman. Ketika inilah hati kita akan tersentuh seterusnya mengingati pemberi nikmat rasa ini iaitu Allah SWT. Dalam bulan Ramadhan, mata kita juga dilatih untuk tidak melihat maksiat, sebaliknya lihatlah perkara yang baik-baik seperti melihat pemandangan indah, orang-orang miskin, wajah ibu bapa dan lain-lain. Ketika inilah hati kita akan tersentuh melahirkan rasa cinta kepada Allah SWT dan kasih sayang sesama insan.

Setelah tamat mengharungi madrasah tarbiyah Ramadhan ini, diharapkan menjadikan kita insan sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, insan yang suci bersih seperti bayi yang baru dilahirkan ke dunia. Dengan ini, barulah menjadikan Aidilfitri yang bakal kita sambut suatu yang sangat bermakna sesuai dengan pengertiannya iaitu perayaan fitrah.

Ayuh pemuda !!! Marilah kita sama-sama membakar semangat dan menanam azam baru untuk terus bersama berganding bahu dalam mendaulatkan agama Allah di muka bumi ini, sebagai bukti hati yang sentiasa mengasihi Nya. 

Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin !!!

Wassalam.

Ketua Pemuda DPPK Segambut
27 Ramadhan 1432H / 27 Ogos 2011.

22 August 2011

Ziarah Saudara Baru DPPk Segambut

encik hamzah bersama keluarga
Pada 21 Ogos 2011 (semalam) Pemuda PAS Segambut telah menziarahi dan memberi sumbangan ramadhan kepada keluarga En Hamzah Abdullah di Sungai Plong. En Hamzah yang telah mememluk Islam sejak lima tahun menyara hidup keluarga beliau dengan mencari besi buruk dan barangan terpakai. Dengan anak seramai 6 orang, mereka menjalani kehidupan dengan simpati jiran dan masyarakat berdekatan. Wajah ceria terpampar di saat kami mengunjungi rumah beliau. En Hamzah walaupun dalam keadaan kesusahan namun masih cekal dengan sikap jujur dan tidak menyembunyikan beberapa bantuan yang diperoleh melalui nama anak-anak beliau tetapi masih belum mencukupi untuk menampung kehidupan mereka. Selain dari sumbangan oleh pemuda PAS Segambut, sumbangan dari Kelab TKO juga disampaikan oleh wakil kelab. Pemuda Pas memandang pengorbanan besar oleh EN Hamzah sebagai seorang bapa kepada anak-anaknya yang memberi satu hadiah paling bermakna untuk anak-anak mereka iaitu membawa mereka kedalam agama yang suci ini. Namun atas tanggungjawab kita sebagai muslim untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.
 
suasana di dalam rumah saudara hamzah
 
sumbangan disampaikan oleh saudara kamarul anuar bagi mewakili DPPk Segambut
suasana sekitar rumah
bermesra bersama wakil DPPk Segambut dan penyumbang yang juga merupakan ahli PAS Kawasan Segambut
En Hamzah menceritakan impian beliau untuk lebih maju dan berdikari di mana ingin mendapatkan pinjaman sebanyak rm5000 untuk lebih serius dalam bidang memperoses bahan kitar semula secara lebih terurus dan dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Berbuka Sambil Beramal Bersama PAS Cawangan Sg. Penchala


berbuka sambil beramal. begitulah konsep yang diketengahkan oleh PAS Cawangan Sg. Penchala bersempena majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan hari raya semalam. majlis ini telah berjaya diadakan dengan bantuan dan kerjasama dari ahli PAS cawangan Sg. Pencahala yang juga merupakan tuan rumah kpd program tersebut, Encik Rahimi. majlis ini bertujuan untuk meraikan tenaga pengajar PASTI, anak-anak yatim, OKU, saudara baru, anak-anak tahfiz dan juga golongan yang kurang berkemampuan untuk persiapan aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. seramai 75 orang penerima telah menerima bantuan berupa wang ringgit. majlis ini telah dimulakan kira-kira jam 6.45 petang, dimulai dengan ucapan perasmian dan taujihat dari YDP PAS Kawasan Segambut, Ustaz Anuar Mat dan diteruskan dengan penyampaian sumbangan hari raya oleh YDP sendiri dan tuan rumah.
adik kecil gembira dapat duit raya =)

Ketua PAS Cawangan TTDI, Haji Razak sebagai wakil bagi pihak yg tidak hadir

saudara baru..

pengetua sekolah tahfiz kemboja

sumbangan kpd ibu tunggal..

selepas selesai berbuka puasa dan menunaikan solat fardhu maghrib berjemaah, majlis telah diteruskan lagi dengan tazkirah yang telah disampaikan oleh Ustaz Azman Shapawi, bekas TKP DPP Malaysia. tazkirah yang disampaikan berkisar mengenai mujahadah di 10 akhir ramadhan.

tazkirah oleh al-fadhil ustz azman shapawi
selepas tazkirah yg disampaikan oleh ustz azman, majlis diteruskan lagi dengan solat fardhu maghrib, tarawih dan witir secara berjemaah. sebelum para hadirin dijamu dengan jamuan moreh, para tetamu sekali lagi diberikan pengisian rohani melalui tazkirah oleh ustz Adha, ketua lajnah tarbiyah DPPWP.


alhamdulillah, program pada hari ini berjalan mengikut perancangan tanpa sebarang masalah. PAS Kawasan Segambut, melalui tenaga di peringkat cawangan dan dewan-dewan akan terus berusaha menyampaikan dakwah islami melalui program-program penerangan dan kebajikan pada masa akan datang, insya-Allah.

20 August 2011

Jawatankuasa Reformasi Pilihanraya Untuk Ganti & Lebarkan Sayap JK Khas Parlimen.


Kenyataan Perdana Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya merupakan kajayaan besar himpunan 9 Julai Bersih 2.0, yang telah berjaya mengadakan bantahan besar-besaran secara aman serta membongkar dan menyedarkan rakyat tentang beberapa penyelewengan yang berlaku dalam sistem pilihanraya di Malaysia.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga sepatutnya badan pelaksana kepada sistem pilihanraya yang bersih dan adil telah menjadi sasaran utama pembongkaran hari ke hari yang mencerminkan kelemahan perjalanan sistem pilihanraya di negara ini.
 
Hasil pembongkaran demi pembongkaran yang membayangkan satu konspirasi yang seolah-olah terancang antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terutamanya dalam soal pengundi hantu, nama bertindih, pengundi warga asing, pengundi tanpa rekod di JPN sehingga kini masih tidak dapat dijawab oleh pihak-pihak bertanggungjawab.
 
Pembongkaran tersebut telah juga mewujudkan satu keadaan saling nafi-menafi antara SPR dan JPN, ditambah pula pengubahan data JPN dan SPR dengan sewenang-wenangnya menjadikan keyakinan rakyat jelata kepada ketelusan, kebersihan dan keadilan sistem pilihanraya semakin runtuh.
 
Semua ini ditambah pula tekanan daripada pihak Pakatan Rakyat (PR) yang menuntut satu sidang parlimen khas untuk membahas isu menjual kewarganegaraan untuk undi, akhirnya sedikit-sebanyak memaksa Perdana Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen ini.
 
Namun, apa yang menjadi persoalan utama ialah keanggotaan jawatankuasa ini, bilamana Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan bahawa ianya akan diketuai oleh seorang menteri, lima ahli parlimen BN, tiga dari PR dan seorang bebas.
 
Tidak dinafikan rata-rata rakyat harapkan jawatankuasa ini akan berjaya mengemukakan satu cadangan konkrit bagi membentuk satu sistem pilihanraya yang bersih dan adil, tapi sebelum itu jawatankuasa ini mestilah ditubuhkan secara seimbang dan adil supaya tidak didominasi mana-mana pihak, pihak pemerintah mahupun pembangkang.
 
Bayangkan lebih separuh daripada anggota dan ketua jawatankuasa ini terdiri daripada manusia-manusia yang merasakan sistem pilihanraya negara ini selama 54 tahun yang lepas adalah bersih, adil dan bebas, apa yang boleh rakyat harapkan daripada jawatankuasa khas ini?
 
Tanpa penglibatan secara terus Bersih 2.0 dan juga badan-badan NGO yang lain beserta juga penghinaan terbaru Nazri terhadap Bersih 2.0 yang mendapat sokongan ramai rakyat jelata, apabila beliau menyoal secara angkuh, “Siapa Bersih?” – susah untuk rakyat untuk menerima bahawa penubuhan jawatankuasa ini sebagai satu tindakan ikhlas daripada Barisan Nasional untuk memulihkan semula sistem pilihanraya negara yang tempang ini
 
Sebab itulah, satu perubahan terhadap penubuhan jawatankuasa khas parlimen ini harus dibuat agar semua pihak boleh berpuas hati dengan keputusan pencariannya nanti.
 
Sehubungan dengan hasrat besar itu, di sini dicadangkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan ini bukanlah berbentuk jawatankuasa khas parlimen, kerana dalam bentuk ini, ianya akan menyekat keanggotaan pihak lain, seperti Bersih 2.0 dan rakyat biasa yang juga penting dalam proses pembaikan ini.
 
Dicadangkan jawatankuasa ini dinamakan sebagai Jawatankuasa Khas Reformasi Pilihanraya bagi memberi ruang keanggotaannya lebih terbuka dengan penyertaan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam sistem demokrasi berparlimen ini.
 
Dengan melebarkan sayap jawatankuasa ini, maka keanggotaannya lebih terbuka  bukan hanya kepada parti- parti politik bahkan ianya boleh disertai bersama oleh badan-badan NGO, Majlis Peguam, dan beberapa individu yang mewakili rakyat biasa yang difikirkan sesuai dan layak.
 
Perkara yang paling penting dalam penubuhan jawatankuasa khas ini ialah badan ini mestilah diyakini mampu membuat perubahan kepada sistem pilihanraya yang lebih bersih dan adil. Sekiranya ia gagal meyakinkan masyarakat, maka ianya tiada makna ditubuhkan jawatankuasa sedemikian.  
 
Oleh itu, dicadangkan di sini, agar keanggotaan jawatankuasa ini dirombak menjadi 12 orang, dengan 3 ahli parti pemerintah, 3 ahli daripada pembangkang, 3 ahli NGO, satu wakil SPR dan satu wakil JPN dan pengerusi yang dilantik oleh jawatankuasa terbabit mestilah seseorang yang diterima baik dan diyakini oleh semua lapisan rakyat sebagai seorang yang adil dan tegas dalam isu reformasi pilihanraya, seperti wakil dari Bersih 2.0 dan juga Suhakam.

Jawatankuasa ini mestilah diberi tempoh segera, sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan bagi menyiapkan cadangan untuk dibahas dan diluluskan di peringkat parlimen. Fokus utama jawatankuasa ini ialah mewujudkan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di negara ini.
 
Memandangkan kredibiliti SPR dan JPN kini berada pada tahap yang amat meragukan dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan sebagai menghormati hak pengundi-pengundi yang berdaulat, sepatutnya pilihanraya umum tidak perlu dilaksanakan selagi penambahbaikan sistem pilihanraya ini belum dipulihkan.



Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat