28 March 2012

Amal Islam bukan berteori dengannya



Seorang bapa yang pandai berkata-kata, menceritakan teori-teorinya dalam mendidik anak-anak, tidak akan ada pengikut dan peminat, sekiranya anaknya sendiri berperangai buruk di sekolah. 

Bahkan, teori beliau akan dicemuh sebagai teori menyeleweng walaupun teori itu betul, cuma beliau gagal mempraktikkan sahaja.

Seorang bapa yang anaknya cemerlang di sekolah, walaupun selama ini tidak menghebohkan teori-teorinya...ya dalam mendidik anak... akan disoal bertubi-tubi oleh ibu-bapa dan guru yg lain - 'Bagaimana pak caik ajar anak jadi soleh, rajin ini?' Ia mendapat pengikut dan peminat kerana anaknya menunjukkan contoh yang baik.

Umat Islam hari ini terlalu ramai yang memokus pada perkara-perkara syariah, hukum-hakam, memetik (maaf, kalau kasar sedikit, menjual) ayat-ayat Quran utk menunjukkan bahawa dia Islam dan beriman.

Ingatlah hukum-hakam Islam itu indah secara sendirinya oleh Allah.
Allah mewajibkan banyak perkara wajib untuk dilakukan umatnya setiap hari semata-mata umatnya muncul sebagai manusia yang berdisiplin, rajin, berkelakuan baik, adil, konsisten dan memiliki kesabaran yang tinggi.

Bayangkan, kalau majoriti umat Islam di mana-mana dikenali sebagai golongan yang paling rajin, berdisiplin, adil, konsisten, sabar dan berkelakuan baik - tidak itu lebih membantu Allah menyebarkan ajarannya daripada orang-orang yang hanya pandai berkata-kata mengenai kehebatan Islam tapi berperangai tidak seberapa?

Seperti cerita bapa di atas, Islam akan menjadi lebih menarik kalau umatnya sendiri menonjolkan Islam sikap dan tauladan yang baik seperti yang diajar Allah.

Islam adalah agama yang adil. Tapi kalaulah umatnya tidak menonjolkan keadilan di mana-mana, maka Islam akan dicemuh dengan perkataan tidak adil.

Jika anda ingin menjaga Islam, mudah sahaja petuanya, mulalah dengan jaga perangai kita senantiasa. Jadilah umat Islam yang boleh dicontohi oleh orang lain. Tunjukkan Islam itu syumul dan maha adil dalam tindak-tanduk kita.

Ingatlah jaga perangai sendiri adalah juga tugas menjaga maruah Islam dan Allah. SENYUM, sekadar luahan untuk kali ini.

27 March 2012



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

BERSIHKAN IMEJ POLIS : DAKWA MEREKA TERLIBAT
(27 Mac 2012)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong gesaan YB Dato’ Haji Mahfuz Omar supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap Peguam Negara dan bekas Ketua Polis Negara atas dakwaan melindungi penjenayah untuk membersihkan nama polis dan juga jabatan kerajaan.

Ini kerana, keengganan kerajaan mendakwa bekas Ketua Polis Negara dan Peguam Negara akan lebih mencalarkan imej kerajaan di mata rakyat. Yang didakwa melindungi kumpulan kongsi gelap besar di negara ini pula bukan pegawai polis berpangkat rendah, tetapi bekas Ketua Polis Negara sendiri. Manakala tuduhan terhadap Peguam Negara pula menandakan bahawa badan perundangan negara sedang dikawal oleh kuasa lain sehinggakan kegiatan kongsi gelap juga boleh dilindungi dari tindakan undang-undang.

Keengganan kerajaan mendakwa mereka yang didakwa ini juga menunjukkan bahawa kerajaan seakan melindungi golongan yang berkepentingan. Mereka yang berprofil tinggi, berjawatan besar dan ada kedudukan tersendiri seolah-olah kebal dari sebarang tindakan undang-undang. Sebaliknya, jika rakyat bawahan yang didakwa terlibat, mereka pasti akan diseret ke muka pengadilan.

Akhirnya, DPPM melihat jika kerajaan benar-benar mahu menjaga integriti institusi di bawahnya, kerajaan perlu bersikap telus dan adil dalam melaksanakan amanah mereka. Tahap kepercayaan rakyat perlu dikembalikan, dan antara langkah utama ialah mendakwa semua yang terlibat di muka pengadilan. Tidak ada gunanya pemimpin negara melindungi mereka yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan, kerana kredibiliti kerajaan akan terus dipertikaikan oleh rakyat.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

DAKWAAN BEKAS PEMIMPIN UMNO DEDAHKAN LAGI SIAPA UMNO SEBENAR


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

DAKWAAN BEKAS PEMIMPIN UMNO DEDAHKAN LAGI SIAPA UMNO SEBENAR
(27 Mac 2012)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kenyataan bekas Ketua Penerangan Umno Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz bahawa BN selama ini berkuasa kerana persempadanan kawasan mengundi menunjukkan Umno sememangnya parti yang mengamalkan penipuan bagi memenangi pilihanraya. Sebelum ini, bekas pimpinan tertinggi Umno, Tan Sri Kadir Syeikh Fadzir pernah mendakwa Umno membeli undi bagi memenangi pilihanraya.

Bagi DPPM, dakwaan bekas-bekas pemimpin Umno tentang strategi kotor Umno dalam pilihanraya umum terdahulu merupakan suatu dakwaan yang serius. Jika yang mendedahkan strategi kejahatan Umno dalam sistem pilihanraya di Malaysia adalah orang awam, ia mungkin boleh dipertikaikan kesahihannya. Tetapi jika yang mendedahkan strategi ini adalah bekas pemimpin Umno, ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada Umno. Kedua-dua pemimpin ini adalah orang kanan Umno dan mereka tahu malah terlibat secara langsung dalam strategi Umno untuk memenangi pilihanraya umum. Sudah tentu dakwaan mereka berasas.

Justeru itu, tidak hairanlah Umno mudah memenangi pilihanraya yang terdahulu meskipun rakyat sudah lama menolak Umno. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan survival kuasa mereka dapat dicapai. Sekalipun terpaksa mencalar nilai demokrasi di negara ini dan memperkudakan apa sahaja agensi yang dibawah pentadbiran mereka.

Bukan suatu kebetulan semua modus operandi yang dijalankan dalam sistem pilihanraya di negara ini seperti persempadanan semula kawasan pilihanraya, pendaftaran pemilih, undi pos, dan lain-lain melainkan tujuannya adalah untuk memenangkan Umno-BN. Justeru, DPPM amat berharap, taktik jahat Umno ini dapat dibongkarkan agar ia dipatahkan dan tidak dibuat kembali menjelang Pru ke 13.  Sudah beberapa kali pilihanraya umum berlangsung dan sudah berpuluh tahun rakyat ditipu dengan sistem pilihanraya yang kotor di negara ini.

Akhirnya, dengan dakwaan ini membuktikan Umno-BN tidak layak memerintah negara. Mereka berlagak seolah mendapat mandat daripada rakyat terbanyak, hakikatnya mereka menang dengan segala unsur penipuan. Rakyat perlu sedar dan bangkit supaya negara ini diselamatkan dari pemimpin dan parti yang menipu dan merompak kepercayaan rakyat.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

26 March 2012

HAMPIR 13 : Petugas PRU PAS Segambut komited bantu kemenangan PAS dan PR.




menyedari bahang PRU 13 yang semakin dirasa, PAS Kawasan Segambut dengan kerjasama Jabatan Pilihanraya Negeri [JPN] PAS WP telah mengadakan satu program yang dinamakan HAMPIR 13 (Himpunan Amilin Menuju PIlihanRaya 13) pada 25 Mac 2012 pada jam 8.30 pagi bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Segambut di TTDI. program ini, antara lain bertujuan untuk menyuntik semangat para petugas pilihanraya dari Parlimen Segambut yang akan berkhidmat pada PRU 13 nanti.


YB Lim yang juga MP Segambut memberikan kata-kata aluan dan taujihat

program yang disampaikan oleh Tuan Haji Abu Hasan yang juga Timbalan Pengarah 1 JPN PAS WP ini berjaya mengumpulkan seramai 30 orang petugas yang juga ahli PAS Kawasan Segambut.


Haji Abu Hasan menyampaikan amanat dan taujihat


antara peserta yang hadir
YB Lim menunggu untuk berucap

sedang khusyuk mendengar taujihat

ikrar pilihanraya


9 March 2012

SANGGUPKAH DATUK SERI NAJIB MEMOHON MAAF KEPADA KELUARGA ALTANTUYA?



KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

SANGGUPKAH DATUK SERI NAJIB MEMOHON MAAF KEPADA KELUARGA ALTANTUYA?
(9 Mac 2012 / 16 Rabiulakhir 1433)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat isu yang melibatkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu semakin mencalarkan imej Datuk Seri Najib di mata masyarakat. Penghakiman bertulis yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin seakan mahu mengheret ‘seseorang yang berkuasa’ di sebalik pembunuhan model tersebut.

Penghakiman ini mewujudkan persoalan dan persepsi masyarakat, adakah institusi mahkamah dalam kes ini benar-benar bebas berfungsi ataupun telah diikat dan dikongkong oleh mereka yang  berkuasa dibelakangnya. Lebih mengusutkan keadaan apabila dalam penghakimannya, Datuk Mohd Zaki Md Yasin merumuskan bahawa motif pembunuhan tidak penting walaupun ianya relevan. Tidak penting tujuan bunuh, justeru, mengapa Altantuya dibunuh?

Dua orang yang telah didapati bersalah adalah anggota Unit Tindakan Khas iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar. Kedua-dua mereka adalah pegawai keselamatan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu. Soalnya pula, bagaimana kedua-dua anggota ini yang bertugas menjaga keselamatan pemimpin negara boleh terlibat melakukan operasi membunuh ini dengan begitu kejam? Apa kaitan kedua-dua mereka dengan Altantuya? Tidak mungkin anggota polis melakukan jenayah ini tanpa sebab. Mesti ada arahan oleh mereka yang lebih tinggi darinya untuk melakukan perbuatan itu

DPPM berpandangan, sepatutnya misteri kes ini mudah terjawab dengan merungkai satu demi satu persoalan sehingga akhirnya akan menemui jawapan yang sebenar. Lihatlah bagaimana kes Datuk Sosilawati yang dibunuh dengan modus operandi yang hampir sama. Kes ini disiasat dengan beitu teliti sehingga akhirnya menemukan motif pembunuhan tersebut. Namun demikian, dalam kes Altantuya motif pembunuhan ditutup seakan mahu menutup terus cerita ini dari terus disiasat.

Walau apa pun alasannya, rakyat melihat pembabitan Datuk Seri Najib dalam kes ini. Meskipun mungkin beliau tidak terlibat secara langsung, namun pembabitan kedua-dua anggota keselamatan dalam kes ini amat merendahkan reputasi beliau. Tambahan pula, orang kepercayaan beliau Abdul Razak Baginda juga dikatakan terlibat meskipun kemudiannya dibebaskan dan didapati tidak bersalah. Kes ini juga amat memalukan negara di mata dunia kerana dunia menganggap Malaysia bukanlah sebuah negara yang selamat dikunjungi. Apa yang berlaku kepada Altantuya tidak mustahil juga berlaku kepada pelancong lain yang berkunjung ke negara ini.

Dalam keadaan Datuk Seri Najib merayu-rayu rakyat dengan permohonan maaf dan menyesali atas ‘ketelanjurannya’, sanggupkah beliau memohon maaf kepada keluarga Altantuya atas pembabitan bekas pegawai keselamatannya? Beranikah beliau berdepan dengan keluarga mendiang dan memohon maaf kerana kejadian itu berlaku di Malaysia? Berjiwa besarlah beliau jika sanggup mengaku salah atas apa yang berlaku terhadap model Mongolia itu.


Disediakan oleh;

RIDUAN  MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia