2 August 2011

Perutusan Ramadhan 1432 oleh Ketua DPP Malaysia



1. Ramadhan adalah bulan yang penuh kemuliaan justeru itu, muliakan diri kita dengan menyertai Amal Islami lantas memperjuangkannya agar ia tegak di dalam diri kita dan tegak juga di atas tanahair kita, serta hiasi diri dengan akhlak Islami seperti tawadhu', ikhlas dan ramah.

2. Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, justeru itu hindarkan diri kita dari kancah maksiat dan mungkar yang menghakis keberkatan sebaliknya meriahkan hari - hai kita bersama Ramadhan dengan pesta ibadah. Banyakkan Ibadah, kurangkan juadah dan lazimkan bersedekah.

3. Ramadhan adalah bulan yang penuh keampunan, justeru itu dekatkan diri kepada Allah, munajat dan beristighfar memohon keampunan sehingga diri kita tenang dan optimis untuk menggalas amanah perjuangan ini tanpa dihambat oleh bayang dosa dan noda.

4. Ramadhan adalah bulan yang penuh kerahmatan, justeru itu bina kasih sayang berteraskan ukhuwwah Fillah sesama kita, hargai mereka yang tidak bernasib baik, santuni mereka yang jahil, didik mereka yang liar, bimbing mereka yang tersasar dari jalan kebenaran. Jangan banyakkan musuh sebaliknya kita adalah Duta Penyelamat dan Kasih sayang.

5. Ramadhan adalah bulan Jihad atau bulan perjuangan. Justeru itu, jangan biarkan diri terus dikongkong nafsu. Bebaskan diri dari lingkaran syahwah dan bangkit dengan semangat Badar al Kubra untuk terus menjulang panji perjuangan Islam ini dengan tabah, yakin dan istiqamah.

6. Ramadhan adalah bulan Al Quran. Justeru itu, marilah kita membaca al Quran dan mengkhatamkannya di bulan Ramadhan ini serta dalam masa yang sama, kita fahami, hayati dan laksanakan kandungan al Quranul Karim sehingga politik kita, ekonomi kita, sosial kita berada di antara helaian - helaian al Quran sebagai kitab petunjuk dari Allah Azza wa Jalla.

7. Ramadhan adalah bulan Takaaful. Justeru itu, jangan dilupa pada yang miskin juga pada yang tiada memiliki apa - apa. Banyakkan menganjur majlis berbuka puasa [ Maaidatur Rahman ] untuk mengundang fakir miskin, anak - anak yatim dan insan yang memerlukan berbuka puasa.

8. Ramadhan adalah bulan zikir [ mengingati Allah ]. Justeru itu, jangan kering bibir melainkan banyak berselawat, bertasbih dan bertahmid mengingati Allah dan banyakkan solat sunnat di waktu malam seperti Terawih dan witir, demikian juga melazimi majlis -majlis ilmu untuk mengingatkan kita kepada amanah beragama dan tanggungjawab memperjuangkannya.

9.Ramadhan adalah bulan Puasa. Justeru itu, tahan diri dari makan dan minum di siang hari. Jua tahan diri dari melakukan perkara yang keji dan dicela syara'. Jaga kesihatan dengan baik dan amalkan gaya hidup sihat. Syukuri segala nikmat kurniaan Allah, jangan tamak dan rakus menjamu nafsu.

10. Ramadhan adalah bulan Taqwa. Justeru itu, tunduk dan patuhlah kepada semua perintah Allah dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt. Taqwa senjata yang paling berkesan untuk menghadapi apa jua bentuk konspirasi musuh yang menentang Islam. Tanpa taqwa, objektif ramadhan gagal dicapai dan ramadhan kita tahun ini sia - sia. Taqwa adalah KPI kepada Madrasah Ramadhan yang kita sertai ini.

Nasrudin bin Hassan
Airport Antarabangsa Kuwait.
2.0 Ramadhan 1432

1 August 2011

Bukankah Fahaman UMNO Lebih Bahaya Daripada Wahabi?


Keghairahan UMNO melalui agensi Majis Keselamatan Negara (MKN) membuat tuduhan mengaitkan Wahabi dengan pengganas bukanlah sesuatu yang baik untuk negara.
 
Wahabi yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab mempunyai perbezaan dalam perkara furu', bukan soal penafian prinsip Islam. Kerana itu, ia diterima dan dianuti oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara lain.
 
Arab Saudi, sekurang-kurangnya telah melaksanakan hukum hudud, Qisas dan Takzir, akan tetapi Malaysia masih terkial-kial mencari formula mengatasi masalah jenayah dalam negara.

UMNO dalam sejarahnya pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum syarak, memperlekehkan sunnah nabi, menganggap negara akan mundur kalau melaksanakan Islam, bahkan lebih teruk dari itu, ada sebilangan pemimpin UMNO pernah menanggap politik suku agama suku.
 
Fahaman sekular yang dianuti oleh sebahagian pimpinan tertinggi menyebabkan Islam hanya ditadbir sebagai satu jabatan, bukan sebagai satu sistem kehidupan manusia.

Bukankah ini bukti fahaman UMNO yang berdasar sistem pragmatisme sebenarnya jauh lebih bahaya dari Wahabi?

Tuduhan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan pengganas bukanlah perkara baru, bahkan ianya selaras dengan anggapan Amerika Syarikat terhadap gerakan Islam.
 
Cuma yang agak menghairankan bilamana ulamak Muda UMNO juga tergolong senarai pengganas.
 
Apakah Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang mengenakan mereka di bawah Ordinan darurat, sebagaimana nasib enam aktivitis PSM yang sehingga kini rakyat tidak tahu apa jenis ancaman yang mereka bawa kerana menyokong Bersih 2.0? 
 
 
 
Kerana kalau benar ulama muda Umno ini ada kaitan dengan pengganas, bukankah ia sudah pasti menjadi ancaman kepada keselamatan negara?

Sehubungan itu, saya bersetuju dengan pandangan bekas mufti, Dr Asri Zainul Abidin agar 40 ulama muda Umno ini menyemak kembali penyertaan mereka dalam UMNO.
 
Tidak terfikirkah bahawa apabila ulamak Umno pun dicop sebagai pengganas, bukankah ini bermaksud pemimpin mereka lebih hebat lagi?
 
Tapi, apa yang hairannya, inilah Umno. Bagi mereka, kerja lanun merompak wang negara dengan membunuh karear politik musuh dalaman atau luaran mereka adalah satu kerja yang halal dan wajib dilaksanakan asalkan kuasa politik mereka terjaga.
 
 
 
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

31 July 2011

SELAMAT MENEMPUH BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK!



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"wahai orang-orang yang beriman! telah difardhukan ke atas kamu berpuasa seperti mana yang telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa"
(al-baqarah : 183)


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
 مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"daripada abi hurairah r.a daripada Nabi Muhammad s.a.w bersabda : barang siapa yang berpuasa di bulan ramadhan dalam keadaan beriman dan mengharap (keampunan Allah swt), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu"
HR al-bukhari, abu daud, an-nasaie, ibnu majah, ahmad dll.



DPPk Segambut anjur bengkel bedah Buku Jingga



pada 30/7/2011 yang lalu, Dewan Pemuda PAS kawasan Segambut telah mengadakan retreat "Membedah Buku Jingga - Manifesto 100 hari Pakatan Rakyat" sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 13 yang bakal tiba tidak lama lagi. alhamdulillah, walaupun menghadapi sedikit masalah disebabkan hujan yang turun dengan lebat pada awal pagi, ia sama sekali tidak mematahkan semangat para petugas dan aktivis PAS untuk hadir ke bengkel ini. bengkel yang telah disertai oleh para petugas dan aktivis dari peringkat dewan pemuda, dewan muslimat, cawangan-cawangan dan PAS kawasan sendiri. bengkel ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Di-Pertuan PAS Kawasan Segambut, Haji Anwar. di dalam ucapannya, beliau telah menegaskan akan peri pentingnya sesuatu gerak kerja pilihanraya itu dimulakan lebih awal supaya segala strategi dan rancangan dapat dijalankan dengan berkesan. seterusnya, bengkel ini telah diteruskan lagi dengan ucapan perasmian yang telah disampaikan oleh saudara Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, Timb Ketua Pemuda PAS WP.


ucapan perasmian sedang disampaikan oleh saudara suhaimi

selesai ucapan perasmian, acara "membedah" Buku Jingga telah diteruskan oleh saudara Nasaie Ismail, Ketua Penerangan PAS WP merangkap S/U Akhbar Presiden PAS. melalui pembentangannya, saudara Nasaie telah membentangkan mengenai mekanisme perlaksanaan manifesto 100 hari PR sekiranya memerintah Malaysia seperti yang telah ditetapkan di dalam Buku Jingga. saudara Nasaie juga telah menekankan kepentingan para ahli memahami kandungan buku tersebut sebagai langkah awal untuk memberikan pemahaman kepada para pengundi mengenai janji-janji Pakatan Rakyat pada PRU akan datang.

sesi penerangan dan Q&A oleh saudara Nasaie Ismail

alhamdulillah, bengkel ini telah mencapai matlamatnya dan tamat mengikut perancangan. DPPk Segambut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan program ini. kepada para pengundi di Parlimen Segambut, nantikan kehadiran program penerangan daripada kami dalam masa yang terdekat, Allahuakbar!

Taklimat UPU Oleh MP Segambut

YB Lim Lip Eng sedang memberi penerangan


demi membuat persiapan dan strategi untuk menghadapi PRU-13 yang dijangka tiba selewat-lewatnya sebelum Tahun Baru Cina tahun hadapan, PAS kawasan Segambut telah mengadakan satu taklimat UPU (Unit Peti Undi) yang telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Segambut, YB Lim Lip Eng. melalui taklimat ini, para petugas PAS dapat mengetahui statistik terkini pengundi baru di kawasan Parlimen Segambut dan juga data undi dari setiap saluran peti undi para PRU 12 yang lalu. melalui taklimat ini juga, para petugas PAS telah dimaklumkan mengenai kekuatan dan kelemahan para petugas PR di setiap UPU pada PRU yang lalu disamping dapat merangka strategi kerja bagi mengatasi masalah-masalah dan isu-isu yang berbangkit. selain itu, para petugas PAS juga telah berkongsi dan bertukar-tukar pendapat dan idea dengan YB Lim mengenai strategi bagi memikat hati pengundi bagi menghadapi PRU yang akan datang. di akhir taklimat ini, YB Lim telah merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada PAS kawasan Segambut di atas penganjuran sesi taklimat dan penerangan yang telah dijalankan pada hari itu. PAS Segambut, melalui saluran cawangan dan dewan-dewannya, komited utk membantu rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk terus mengekalkan kemenangan di Parlimen Segambut ini demi memastikan penguasaan PR ke atas Putrajaya pada PRU 13 nanti menjadi suatu realiti. Allahuakbar!