29 May 2012

NAJIB HANYA BERANI DALAM GELANGGANNYA SAHAJA


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengecam sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya berani berani bercakap melalui media untuk mengutuk Pakatan Rakyat. Datuk Seri Najib dalam satu kenyataannya mengutuk cadangan ekonomi Pakatan Rakyat (PR) sebagai janji populis yang direka untuk mendapat kuasa.

DPPWP menganggap PM seorang penakut apabila hanya berani berselindung di sebalik media yang dikuasainya serta bercakap melalui forum yang dianjurkan oleh pihaknya. Beliau bebas bercakap apabila tidak ada pihak yang mampu menjawab langsung hujah beliau di atas pentas tersebut manakala media pula dikawal beliau sepenuhnya.  Beliau hanya lantang bersuara dalam gelanggang miliknya tetapi kecut apabila diajak berdebat satu lawan satu dengan musuh politik beliau.

DPPWP menegaskan, segala janji dan komitmen PR dalam memastikan kebajikan rakyat bukan suatu omongan atau janji populis bagi mendapat sokongan rakyat. Ia adalah realistik berdasarkan kemampuan negara serta boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan benar-benar bersih, telus dan adil. PR pula bukannya bodoh untuk menabur janji atas kayangan yang tidak mampu tertunai, malah PR juga memiliki ramai pakar-pakar ekonomi yang mahir dalam semua bidang serta mempunyai pengalaman yang luas merangka polisi negara.

Sebenarnya, BN telah gagal menawarkan kebajikan terbaik kepada rakyat berbanding PR. PM perlu akuinya yang menjadi sebab beliau terpaksa mengalih isu dengan menyerang PR. Mungkin kerana sikap pemimpin sepertinya yang berjuang untuk kepentingan diri sendiri sehingga beliau gagal mencari formula untuk membantu rakyat. Mungkin juga kerana amalan rasuah, penyelewengan, ketirisan yang melampau di bawah pemerintahan beliau menyebabkan beliau sukar menerima segala tawaran PR yang lebih mesra rakyat.

Jika benar tuduhan PM bahawa PR hanya janji populis, DPPWP mencabar PM supaya menerima pelawaan debat antara beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tuduhan beliau perlu dilemparkan di pentas berdebat dan juga peluang mendengar hujah balas daripada PR berkenaan tawaran mereka. Barulah rakyat kenal siapa yang retorik, populis dan siapa pula yang bersikap realistik.

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

TAHNIAH KELANTAN : BUKTI PAS MAMPU TADBIR NEGARA


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana berjaya mengusahakan projek pembinaan lebuhraya dri Kuala Krai ke Kota Bharu yang bernilai RM 1.8 bilion. 

DPPM percaya pembinaan lebuhraya ini adalah hasil dari kecekalan dan kesungguhan pemimpin PAS berjuang demi rakyat dan bukannya khayalan atau gimik politik seperti tohmahan sesetengah pihak. Hanya dengan sikap amanah, adil, jujur dan bersih serta menjauhi rasuah atau penyelewengan kuasa menjadikan kerajaan PAS Kelantan mampu berdikari meskipun tanpa bantuan kerajaan pusat. Ia juga menjadi petanda bahawa PAS bersedia memimpin negara ini jika diberikan mandat oleh rakyat kelak. 

Apa yang lebih membanggakan lagi, kerajaan Kelantan berjaya menunjukkan contoh Negara Berkebajikan yang dicanangkan PAS selama ini dan juga dalam Buku Jingga seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat iaitu dengan pembinaan lebuhraya tanpa tol – sesuatu yang tidak pernah difikirkan munasabah oleh pemerintahan UMNO-BN. Malah, konsep wakaf dan sumbangan daripada orang ramai serta syarikat berteraskan kerajaan (GLC)  memberi gambaran bahawa projek ini adalah hasil titik peluh daripada kerajaan dan rakyat negeri itu yang bekerjasama membangunkan negeri tersebut. 

DPPM juga merasa kecewa kerana kerajaan pusat gagal memberikan kemudahan lebuhraya kepada rakyat Kelantan seperti yang sepatutnya. Berpuluh tahun rakyat Kelantan dinafikan hak daripada memiliki pelbagai kemudahan sehingga mereka terpaksa memikirkan kaedah lain bagi mengatasi masalah mereka. Malah royalti minyak yang sepatutnya dimiliki oleh kerajaan Kelantan turut dinafikan dengan pelbagai alasan. Rakyat Kelantan ibarat warga negara asing yang menjadi kelas kedua dan tidak layak mendapat apa-apa kemudahan dalam negara ini.

Ternyata UMNO gagal membela nasib umat Melayu yang sebangsa dengan mereka hanya kerana dipisahkan oleh ideologi politik kepartian. Sifat pendendam, dengki, khianat dan benci terhadap parti lain yang sebangsa dengan mereka menunjukkan UMNO tidak layak memerintah negara ini. Rakyat Kelantan wajar menunjukkan jalan keluar buat UMNO di Kelantan dan di seluruh negara dalam Pru ke 13.

Disediakan oleh;

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia  

Mengapa PAS sokong perhimpunan BERSIH


Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. 

Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah SWT). Rasulullah S.A.W bersabda: “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik “.

Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.

Ucapan Abu Bakar R A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah SAW: “Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat....” 

Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya. Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat.

Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab.

Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.

Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar  memahami hak  mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh.

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah SAW ketika menegakkan negara contoh di Madinah.

Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan  daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan  politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai.

Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.

Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.

Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Watergate. Di England pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing.

Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem diktator terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.

Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihan Raya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar.

Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah  menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat.

Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan  penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil.

Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum. Semua yang berlaku adalah kemungkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.

PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah SAW mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati.

Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.

Rasulullah SAW mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Mekah selepas Islamnya Hamzah dan Umar RA bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim secara terbuka dan aman tanpa senjata.

Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya, menyebut  peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: "Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul  (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya."

Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.

BERSIH adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.

PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. Umno sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah  besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia.

Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.

Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah SAW: "Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah." 

Sabdanya lagi: "Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal."

PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemungkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.

Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar.

Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya. Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.

Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama Umno yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:

Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)

[YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia PAS]

24 May 2012

CERAMAH PERDANA ‘ISU-ISU SEMASA


­­­


CERAMAH PERDANA ‘ISU-ISU SEMASA

Tarikh        : 2 Jun 2012 (Sabtu)
Masa         : 9.00 Malam
Tempat : Lot 802 Jalan Segambut
                     51200 Kuala Lumpur
                (Berhadapan Apartment Mandy Villa)

Penceramah:
Y.B Abdullah Sani - Ahli Parlimen Kuala Langat
Y.B Dr. Tan Seng Giaw - Ahli Parlimen Kepong
Y.B Dr. Siti Mariah Mahmud - Ahli Parlimen Kota Raja
Y.B Lim Lip Eng - Ahli Parlimen Segambut
Semua Di Jemput Hadir. “DEMI RAKYAT” Menuju Ke Putrajaya
Maklumat  lanjut layari: http://dppsegambut.blogspot.com

Semua Di Jemput hadir. 





22 May 2012

QUOTE OF THE DAY



"Kita tidak boleh pilih nak jadi orang Melayu ke, orang Cina ke, India ke. Ini bukan pilihan kita tapi daripada Allah. Jadi tak ada sebab kita nak prejudis antara satu sama lain."
- YB Dr. Lo' Lo' Dato Hj Ghazali (Ahli Parlimen Titiwangsa)
 
Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal. -Saidina Ali bin Abi Thalib
 
“Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya."- Ayahanda Tn. Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan)