28 February 2012

Fakta mengenai Lynas yg perlu kita tahu

 

1. Kilang Lynas (Lynas Malaysia Sdn Bhd. )  sudah pun 95% dibina di No. 72 Jalan Gebeng 1/24 , Bandar Industri Gebeng Jaya, 26080 Kuantan, Pahang, Malaysia. Keluasan menyamai 140 buah padang bola atau 100 hektar tanah. Kedudukan Kilang Lynas diapit oleh Polyplastic dan Projek Fasa 1 Kluster Industri Minyak Kelapa Sawit yang juga berhadapan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bersebelahan dengan BASF Petronas Chemicals. Juga tercatat papan tanda LAMPSON atau Lynas Advanced Material Plant (LAMP) antara Lynas Malaysia Sdn Bhd dan UGL Resources. UGL Resources adalah syarikat utama yang berpengkalan di Australia dalam bidang Pengurusan Aset dan Projek dengan jumlah kakitangan sekitar 42,000 orang. Mereka telah dianugerahkan Kontrak Pengurusan Projek Pembinaan Lynas di Gebeng pada 22/2/2010 dengan nilai kos pengurusan projek di sekitar RM96.8 juta. UGL Resources bertanggunjawab di dalam urusan rekabentuk kejuruteraan kilang Lynas. Kos infrastruktur Lynas di Gebeng dianggarkan sekitar RM700 juta.

2. 100% milik Lynas Australia.

3. Dijadual untuk disiapkan Suku-3 2011 (September). Tarikh asal dikatakan pada Suku-1 2011 (March).

4. Lesen untuk dibina diberi pada tahun 2008.

5. Peluang Pekerjaan hanya untuk 350 orang sahaja.

6. Akan menghasilkan 22 ribu tan ‘rare earth oxide ‘ setahun.

7. Nilai eksport dianggarkan pada nilai RM8 Billion setahun.

8. Bebas Cukai selama 12 tahun.

9. China merupakan pembekal ‘rare earth’ atau nadir bumi terbesar di dunia sebanyak 95%. Dijangka berlaku penurunan export nadir bumi atau ‘rare earth’ China dari 72% kepada 37% pada tahun 2011.

10. Harga satu tan pada RM364, 800.

11. Pembeli terbesar adalah dari Jepun, Amerika dan Eropah untuk keperluan industri berteknologi tinggi (Magnet Prestasi Tinggi) seperti Kabel Fiber Optic, Monitor LCD, Komputer, Lensa Kamera, Mentol Lampu, Smartphone, Alatan Ketenteraan dan Kereta Hybrid.

12. Lynas dijangka akan menjadi pengeluar 1/3 daripada keperluan ‘rare earth’ atau nadir bumi dunia selepas 2 tahun beroperasi.

13. Proses menghasilkan ‘rare earth’ atau nadir bumi secara umumnya:
a) Ore dilombong di Mount Weld Australia.
b) Ore tersebut kemudiannya akan dikeringkan dan proses pengasingan akan dilakukan. Di sini ‘rare earth concentrate’ akan dihasilkan.
c) Di Gebeng Kuantan, proses seterusnya ialah menghasilkan ‘rare earth compounds’ dimana rawatan dengan menggunakan bahan kimia akan dilakukan untuk proses pengasingan seterusnya.
d) ‘rare earth compounds’ tersebut akan seterusnya diproses dengan menggunakan kuantiti bahan kimia yang berbeza bergantung kepada jenis ‘rare earth’ atau nadir bumi itu, sama ada ia ringan atau berat untuk menghasilkan ‘ rare earth oxides’ di mana ia kemudiannya dihantar atau dieksport semula ke kilang pengeluar produk.
e) Di kilang pengeluar produk berteknologi tinggi, ‘rare earth oxides’ ini akan diproses sekali lagi juga menggunakan teknik ‘solvent extraction’ untuk menghasilkan ‘rare earth metal’ yang akan digunakan secara langsung atau dicampurkan dengan bahan lain untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi itu.

14. ‘Rare earth ore’yang dilombong di Mount Weld mengandungi beberapa mineral utama dan diantaranya ialah monazite. Monazite adalah bahan radioaktif. Di dalam bahan mineral monazite ini terdapat thorium, cerium dan lanthanum. Monazite kaya dengan Thorium dan Thorium ini juga adalah bahan radioaktif yang tinggi dan boleh digunakan untuk menggantikan uranium dalam menghasilkan tenaga nuklear.

15. ‘Rare earth concentrate’ yang diimport dari Australia untuk diproses di Gebeng Kuantan ketika itu dianggarkan mengandungi 0.0029% Uranium dan 0.16% Thorium untuk setiap tan metrik.

16. ‘Rare earth concentrate’ yang diimport akan diproses untuk dijadikan ‘rare earth oxide’ di Gebeng Kuantan. Daripada komen yang disampaikan oleh CEO Lynas sendiri, kandungan Thorium adalah pada nisbah 55:10,000 tan metrik dan dari 22 ribu tan setahun ‘rare earth oxide’ yang dihasilkan dari kilang Lynas atau LAMP di Gebeng Kuantan itu, sisa buangan Thorium yang dianggarkan akan dihasilkan dalam tempoh setahun adalah sebanyak 121 tan metrik bersamaan dengan 121 buah lori 1 tan atau 24 buah lori 5 tan SETAHUN!


17. Maklumat berkenaan Thorium dan kesannya kepada manusia persekitaran seperti yang dilaporkan oleh Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat (EPA) adalah seperti berikut:
a) Thorium-232 mempunyai jangka hayat 14 billion (14×109) tahun.
b) Thorium-230 dan Thorium-228 mempunyai jangka hayat 75,4000 tahun.
c) Pencemaran Thorium boleh merebak dengan lebih meluas melalui air dan udara.
d) Mereka yang tinggal berdekatan tempat yang menghasilkan sesuatu bersama Thorium berkemungkinan terdedah kepada bahaya Thorium.
e) Manusia boleh dijangkiti atau terdedah dengan Thorium melalui sedutan udara, makanan dan air.
f) Thorium yang dihidu atau disedut melalui udara akan kekal untuk jangka masa yang lama pada salur pernafasan. Thorium yang masuk ke salur darah akan juga tinggal di tulang pada jangka masa yang lama.
g) Risiko Kanser di tekak, tulang dan pankreas kesan dari hiduan sisa Thorium.

18. Kes 1: Syarikat Mitsubishi Chemical yang terlibat dalam industri pemprosesan ‘rare earth’ di Bukit Merah dikaitkan dengan 8 kes Leukimia dan 7 kes kematian. Telah ditutup pada tahun 1992 dan kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan sehingga ke hari ini (Hampir 20 Tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta.

19. Kes 2: Kebocoran radiasi di Fukushima selepas bencana Gempa Bumi dan Tsunami mendesak kerajaan negeri Jepun yang dikatakan cukup maju dalam pengurusan bencana untuk melebarkan kawasan evakuasi dari 16KM kepada hampir 40KM termasuk mengisytiharkan tahap 7 kebocoran radiasi, sama seperti yang dialami di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1986 yang telah meragut hampir 200,000  kematian akibat kanser seperti yang dilaporkan oleh Greenpeace ketika itu.

20. Kes 3: Kesan toxic dan radioaktif dari industri ‘rare-earth’ di Baotou Mongolia. Setiap proses ‘rare-earth’ bermula dari perlombongan ‘ore’ ke ‘rare earth oxide’ atau ‘rare-earth metals’ banyak menggunakan bahan asid dan kimia. Malah ketika perlombongan ‘ore’, bahan asid akan dimasukkan ke lubang yang digali. Sisa buangan radioaktif khususnya Thorium juga dihasilkan ketika melalui semua proses itu. Kebocoran bahan asid, kimia dan sisa radioaktif ini yang banyak berlaku di Baotou terbukti telah menyebabkan kemusnahan kepada hasil pertanian dan kesihatan seperti kerosakan hasil tanaman, gigi tercabut dan rambut putih atau beruban diawal usia muda sekitar 20-an. Malah kematian disebabkan kanser juga direkodkan walaupun lokasi penempatan penduduk berada 10KM dari kawasan penyimpanan sisa buangan radioaktif itu.

21. Kes 4: Kajian yang dilakukan oleh Kolej Perubatan Jiangxi di China dari sample darah dan ujian IQ pada kanak-kanak mengemukakan kesimpulan bahawa kanak-kanak di sekitar umur 7-10 tahun yang tinggal berdekatan dengan kawasan ‘rare-earth ore’ berkemungkinan mempunyai IQ atau kecerdasan akal yang lebih rendah berbanding mereka yang tinggal jauh atau yang tinggal di kawasan yang terkawal.

22. Kesannya kepada sumber ekonomi negara khususnya kegiatan ekonomi rakyat di sekitar Kuantan dan Kemaman:
a) Sektor Perlancongan khususnya di Cherating Pahang (dalam Jarak 18-20 KM dari lokasi Kilang Lynas).
b) Sektor Perikanan di Kuantan adalah antara yang terbesar. Terdapat 390 nelayan laut dalam yang berdaftar.
c) Sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya makanan laut (Keropok Lekor, keropok, ikan bakar dan sebagainya).
d) Nilai hartanah akan merudum kerana tiada siapa yang mahu membeli tanah atau kediaman di sekitar Kuantan dan di Kemaman.
e) Ancaman kepada syarikat berdekatan khususnya Petro-Kimia seperti Kaneka, MTBE, Petronas BASF dan BP Chemicals. Kerugian yang besar jika operasi mereka terganggu dengan insiden kebocoran sisa radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan pekerja mereka.
f) Pelabur baru dari luar negeri dan dari luar negara tidak akan berminat untuk melabur kerana ancaman sisa radioaktif daripada Lynas. Risiko terlalu tinggi.

23. Pertikaian rakyat khususnya rakyat setempat adalah berkenaan:
a) ‘Public Consultation’ atau Konsultansi dari pihak awam tidak pernah berlaku malah sebelum lesen untuk dibina dikeluarkan pada tahun 2008.
b) Laporan penuh Jabatan Alam Sekitar tidak dikongsi kepada rakyat, hanya Ringkasan Eksekutif yang dipaparkan di halaman web.
c) Lokasi yang terlalu dekat dengan kawasan kediaman. Jarak 2 KM dari Balok dengan kepadatan penduduk seramai 16700 orang. Jika diambil kira keluasan evakuasi di Fukushima dalam jarak 40KM dari Gebeng Kuantan, kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun. Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang. Syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia adalah minima 35KM dari kawasan penempatan penduduk.
d) Cadangan untuk membawa masuk ‘rare earth concentrate’ dari Mount Weld Australia ke Malaysia sebagai bahan bukan radioaktif dari pelabuhan Kuantan.
e) Menteri Western Australia, Hon Norman Moore memaklumkan sisa buangan radioaktif itu adalah milik Malaysia dan tidak akan diterima balik oleh Australia.
f) Sisa buangan radioaktif dari ‘rare earth’ boleh dibuang sama seperti sampah domestik.
g) Percanggahan kenyataan bahawa Mount Weld ‘ore’ yang dilombong di Austalia adalah jenis lanthanide dan bukan monazite.
h) Panel bebas yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia iaitu IAEA atau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa tidak bebas dan berat sebelah kerana mereka bukan ‘regulator’ atau pembuat undang-undang yang tiada berkepentingan dalam sumber tenaga itu tetapi mereka adalah ‘promoter’ atau pihak yang menyokong penggunaan sumber tenaga itu.
i) Panel bebas harus diwakili dan dilantik oleh rakyat yang berkepentingan dalam isu ini.
j) Kelulusan untuk beroperasi tidak boleh diberi selagi mereka tidak memenuhi piawaian yang dicadangkan oleh Molycorp Minerals (California).
k) Piawaian negeri China yang berkait dengan Perancangan Pengurusan Pemprosesan dan Sisa Buangan tidak seharusnya digunakan. Sebagai contoh Menggunakan piawaian China GB9133-S3 dimana sisa buangan dengan aktiviti khusus yang kurang daripada 74Bq/g diklasifikasikan sebagai bukan sisa radioaktif dan boleh disimpan di kemudahan simpanan sisa biasa.
l) ‘Proof of Concept (POC)’ atau Bukti Konsep seharusnya dibuat oleh Panel Pakar yang bebas dan ujian konsep ini seharusnya dilakukan di Mount Weld Australia sendiri.
m) Cadangan membawa ‘rare earth’ bukan sahaja dari Australia tapi juga dari Malawi. Berkemungkinan ‘rare earth’ dari negara lain akan dibawa ke Gebeng Kuantan. Gebeng Kuantan berkemungkinan akan menjadi pusat serantau Asia malah dunia dalam penyimpanan sisa radioaktif dari perlombongan ‘rare earth’.
n) Denda RM50 juta seperti yang termaktub di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom Perenggan 59 (1) untuk setiap bencana kepada Lynas dilihat cukup ringan berbanding hasil RM8 Billion setahun LAMP. Hanya satu bencana yang melibatkan sisa radioaktif memadai untuk menjadi ancaman yang serius dan kekal lama kepada semua.

PERLU KE KITA SOKONG LYNAS?  Pilihan di tangan anda.

Rakyat Kuantan khususnya dan rakyat Malaysia umumnya harus bertindak!!

25 February 2012

Syria di persimpangan jalan




Syria menghadapi arus perubahan musim bunga politik yang sedang berlaku di dunia Arab secara khusus. Tidak boleh dinafikan sedikitpun, kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh pemerintahan yang lama tanpa kebebasan rakyat,  kerana pemerintahan bersifat  diktator bertopeng demokrasi, yang menekan rakyat dengan lesen yang diberi oleh  kuasa-kuasa besar dunia diatas nama rakan strategik bagi keselamatan Israel yang dilindungi dengan cara paling istemewa, akhirnya tidak mampu membatalkan musim yang bertiup.


Syria mempunyai kedudukkan yang agak berbeza dengan negara arab yang lain, kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya. Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan. Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya. Diambil kira juga parti  Baath yang menganut ideologi sosialis yang keras sehingga hampir sama dengan negara komunis dan juga berfahaman nasionalis  fanatik yang keras terhadap Israel. Menunjukkan bahawa masing-masing lebih menjadikan rakan strategik bagi menghadapi musuh  yang sama iaitu Israel.

Dalam masa yang sama, negara kuasa besar  khususnya Amerika yang menjadi rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel khususnya dalam berdepan dengan Islam. Kumpulan  Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya terhadap Israel dengan bantuan Iran secara terbuka juga  diumumkan oleh pemimpin utamanya Imam Ali Khamanaei dalam khutbah jumaatnya yang terakhir, diikuti oleh lawatan rasmi  ke Iran oleh Ismail Haniyyah, Perdana Menteri Palestin yang tidak diiktiraf oleh Barat dan sekutunya walaupun dipilih secara pilihanraya yang dipantau oleh pertubuhan antarabangsa.  Maka kesemuanya adalah ancaman besar terhadap negara Zionis itu.

Sebelum daripada perkembangan ini, tercetus perang di Selatan Lubnan dan selepasnya serangan terhadap Ghazzah. Kedua peristiwa percubaan Israel ini yang menyerang bagi menghapuskan ancaman terhadap negara haram itu menemui kegagalan yang memalukan. Percubaannya gagal walaupun dengan bantuan negara-negara rakan Israel dan sokongan terbuka dan tersembunyi oleh negara-negara Arab yang bersahabat dengan Israel. Kesemua negara Arab dan negara Islam itu menerima konsep Road Map tajaan kuasa besar yang bertanggungjawab menubuhkan Israel.

Ia juga ekoran dicetuskan isu ancaman teknologi nuklear Iran,  walaupun di atas tujuan perbekalan tenaga, bukannya persenjataan kerana diharamkan oleh agama Islam seperti dinyatakan oleh para pemimpinnya. Sebaliknya Israel pula telah memiliki senjata nuklear sejak tahun enam puluhan lagi, dengan tidak menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa yang mencegahnya daripada melakukan sesuatu yang mengancam keamanan dan keselamatan dunia. Sebarang tindakannya yang dikira menceroboh dan mengganas dengan nyata  diselamatkan dengan kuasa veto oleh kuasa besar pelindungnya jika ada sebarang keputusan yang tidak berpihak kepadanya. Inilah dia undang-undang  rimba yang diamalkan di peringkat antarabangsa iaitu siapa yang kuat dia selamat.

PAS bersama dengan parti Islam di seluruh dunia mengutuk segala kekejaman yang berlaku di Syria terhadap rakyatnya. PAS dan gerakan Islam bersetuju supaya  kerajaan Syria menghentikan kekejaman terhadap rakyat. Kami juga bersetuju supaya Syria didesak dan dipaksa membuat perubahan kepada demokrasi yang sebenar. Namun kami tidak bersetuju jika perubahan yang berlaku kerana hendak menyelamatkan negara haram Israel dan masuk ke dalam agenda Israel  dan sekutunya. Tujuannya bukan menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni) dan Hizbullah serta Iran (daripada Syiah).

Pihak yang melawan kerajaan Syria pula melibatkan kumpulan Islam dan bukan Islam. Mereka  dibekal dengan bermacam bantuan termasuk senjata dan ada yang diberi di atas nama Islam dengan agenda menegakkan kerajaan baru yang menyelamatkan Israel melalui gabungan kerjasama kumpulan Islam yang tidak kuat dengan kumpulan sekular yang berpangkalan di negara Barat yang lebih diperkuatkan supaya menguasai gerakan perubahan.

Media Israel  melaporkan kenyataan pemimpin kerajaan dan tentera Israel bahawa mereka mahukan perubahan yang bukan berteraskan Islam yang lebih menyelamatkan Israel. Jika tidak maka Bashar Assad perlu diteruskan berkuasa pada tempatnya. Ini kerana perubahan yang memberi kemenangan kepada kumpulan Islam seperti di Mesir, Tunisia dan Libya lebih menjadi ancaman kepada keselamatan Israel.

Usaha mereka bukan sahaja menyekat ancaman terhadap Israel daripada utara dan selatannya, tetapi juga dilakukan bagi menghapuskan kekuatan Iran dan kemajuan teknologinya. Beberapa bulan yang lalu media Barat mendedahkan perselisihan pendapat di kalangan Zionis Yahudi berhubung keperluan melancarkan serangan ke atas Iran seperti yang pernah dilakukan ke atas janakuasa tenaga nuklear Iraq di tahun 70-an di masa Saddam Husain. Usaha juga dilakukan dengan menggunakan Iraq di zaman Saddam bagi menyerang Iran yang baru berjaya dalam Revolusi Islam menjatuhkan regim Shah yang pro Barat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju supaya Iran diserang habis-habisan. Mereka ialah kalangan pelampau Zionis yang berada dalam negara haram Israel. Ada juga yang tidak bersetuju Iran diserang. Mereka ialah kumpulan Zionis yang  berada  di Amerika dan Eropah. Mereka bimbang tindakan itu akan menyuburkan gerakan anti Zeonis dikalangan masyarakat barat apabila berlakunya krisis sampingan selepas serangan itu.

Bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel. Kepada mereka yang dapat membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat. Betapa agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Othmaniyah di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya.

Pertama, umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing  sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Othmaniyyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Othmaniyyah terhadap wilayahnya. Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lorans dan rakan-rakannya  Arab dibantu untuk menentang  Turki Otmaniyyah.  Akhirnya Kerajaan Othmaniyyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.

Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing  mengikut road map Sykes Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya. Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut. Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing  yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.

Yang kedua, melagakan umat dengan mazhab yang ramai pengikut. Pengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam  dan menjadi mazhab kerajaan Othmaniyyah yang bermazhab Hanafi, dilagakan dengan mazhab Syiah Imamiyyah yang  ramai penganutnya di Iran, Iraq dan  Selatan Lubnan dan menjadi mazhab Shah Iran di masa itu. Mazhab Zaidiyyah yang sebahagian besar pengikutnya di Yaman dan juga menjadi mazhab raja yang bergelar Imam yang memerintah Yaman. Ada pun Oman pula bermazhab Khawarij Ibadiyyah.  Syah Iran dan Imam Yaman berperang dengan kerajaan  Othmaniyyah. Oman pula menjadi pengkalan kuasa barat.

Malangnya dalam pergolakan yang berlaku di Syria dan  perang yang masih dingin di antara Iran dan negara Barat dan sekutunya, isu nasionalisme dan mazhab dihidupkan  semula. Dihidupkan semula  galakan semangat nasionalisme di kalangan umat Islam sehingga meletakkan ajaran Islam yang boleh menyatukan umat dan akhlaknya yang mulia dilupakan. Masalah khilafiyyah  di kalangan mazhab Islam yang satu dihidupkan semula. Sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan para ulama yang mendalami ilmunya sahaja, tetapi dihidupkan bukan sahaja diantara Sunni dan Syiah bahkan di antara Sunni dan Sunni. Ia disebarkan saperti salafi (wahabi) dan Asya’irah dan Maturidiyyah  di kalangan Ahli Sunnah. Masalah cabang  ajaran agama yang berbeza dikalangan empat mazhab dan lain-lain dikalangan ahli sunnah dihidupkan kalangan masyarakat awam  yang cetek pengatahuan agamanya. Syiah Imam Khomeini dan Khaminaei yang membuat perubahan politik daripada syiah tradisi  di kalangan Syiah, diantara syiah Arab dan syiah Parsi di Iraq. Di samping menyebarkan mazhab-mazhab ini  di kalangan umat Islam yang masih jahil agama, bukannya menyebarkan dan  menambahkan penyebaran Islam di kalangan bukan Islam. Semua ini adalah agenda laga dan perintah atau penjajahan semula yang sepatutnya difahami oleh umat Islam.

Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar. Pandangan semua ulama dicatit menjadi kajian, termasuk pendapat paling lemah kerana keadaan situasi dan realiti yang boleh berubah. Kesilapan dalam perkara rukun diperbetulkan dengan kebijaksanaan. Maka paling menariknya berlaku perkembangan Islam secara damai lebih pesat daripada ketika berperang.

Allah mengajar penganut Islam di zaman Rasulullah S.A.W. supaya umat Islam bersatu di atas dasar dan konsep Islam serta menggunakan pendekatan damai dan strategik dengan masyarakat bukan Islam. Walaupun Rasulullah S.A.W. sudah wafat dan para sahabat generasi awal Islam berbeza pendapat  siapakah pengganti Rasulullah S.A.W. selepas wafatnya  sehingga melahirkan mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij. Namun mereka bersatu bersama para Khulafa Rasyidin R.A. dalam menghadapi cabaran dan menyebarkan Islam sehingga berjaya  selama beberapa abad.  Mereka yang jahil dan melampau disingkirkan daripada masyarakat umat yang besar. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar al-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah yang beribukan salah seorang daripada zuriyat Abu Bakar Al Siddiq R.A. Semua para ulama yang berwibawa itu menentang kezaliman di zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah dan mendokong sesiapa yang adil, seterusnya dakwah dan jihad diteruskan. Adapun pertelingkahan yang tajam selepasnya, berlaku di kalangan para jahil daripada semua pihak.

Langkah penubuhan Majma’ Fiqh di bawah OIC yang melibatkan para ulama daripada semua mazhab itu adalah sangat positif bagi umat Islam. Begitu juga kenyataan dan fatwa pemimpin utama Iran Imam Ali Khaminaei supaya para pengikutnya berhenti daripada mencaci dan menghina para Ummahatul Mukminin (para isteri Rasulullah S.A.W.) yang bertaraf ibu kepada seluruh orang-orang yang beriman dengan perintah Al Quran secara nas dan berhenti menghina para sahabat R.A. malah para ulama besarnya memaklumkan  bahawa lebih daripada sembilan ribu hadith yang ada dalam kitab al-Kulaini yang menimbulkan masalah hendaklah ditolak.

Adapun langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan. Kalau mahu menghidupkan semula dalam pergolakan di Syria terkini akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

23 February 2012

KENYATAAN MURSYIDUL AM PAS : DATUK SERI ANWAR, PALESTIN DAN ISRAEL






Pagi semalam, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu. 

Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulama’ PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel. 

Majlis Syura Ulama’ juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama.

Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.

Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi pendirian PAS sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’ , iaitu PAS sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestine yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini. 

Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestine. Tambahan pula, tindakan penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah haram menerima kewujudan negara Israel yang haram. 

Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestine. Oleh kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu. 

Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa bentuk hubungan sekalipun. 



Nik Abdul Aziz Nik Mat.
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012.

3 February 2012

daftar automatik alternatif terbaik



Dewan Pemuda PAS Kawasan Segambut melahirkan kekecewaan ke atas cadangan Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia supaya mendenda golongan yang tidak mendaftar sebagai pengundi. 


pada tahun 2010, SPR telah mencadangkan kpd kerajaan Malaysia supaya menggunakan kaedah pendaftaran sebagai pengundi secara automatik apabila seseorang rakyat Malaysia mencapai umur 21 tahun. dalam jawapan terhadap cadangan ini, DS Nazri Aziz berkata, kerajaan telah menolak cadangan ini atas alasan "hak setiap orang utk mengundi atau tidak."



DPP kawasan Segambut mempersoalkan di manakah terletaknya rasionalisasi seorang profesor apabila mencadangkan sesuatu yang tidak praktikal utk meningkat kadar pendaftaran pengundi, apatah lagi di kala bahang PRU 13 semakin hangat diperkatakan. untuk pengetahuan prof., kami di PAkatan Rakyat khususnya Parti Islam Se-Malaysia telah lama melahirkan kebimbangan mengenai statistik daftar pengundi yang rendah, terutama di kalangan pengundi muda melayu. justeru itu, pimpinan Pakatan Rakyat konsisten dengan cadangan yang diutarakan oleh SPR utk meningkatkan statistik pendaftaran pengundi iaitu melalui pendaftaran secara automatik yang dilihat lebih menjimatkan dan praktikal dari segala sudut. justeru itu, DPP Segambut menyeru kpd para pemikir dan ahli akademik di luar, sumbangkanlah buah fikiran anda utk sesuatu yang mampu membantu transformasi politik tanah air, bukannya sesuatu utk menjaga periuk nasi sendiri, kerana kelak anda akan ditertawakan oleh warga marhaen!